AM

Keputusan Kes 1MDB Manifestasi Keadilan, Bukan Kemenangan Politik - ABIM

27/12/2025 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak harus dilihat sebagai kemenangan politik atau kejatuhan individu tertentu tetapi manifestasi keadilan institusi yang ditegakkan demi kepentingan rakyat dan negara.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata walaupun keputusan itu masih tertakluk kepada proses rayuan yang dibenarkan oleh undang undang, pertimbangan mahkamah pada peringkat Mahkamah Tinggi dibuat berdasarkan keterangan serta prinsip kedaulatan undang undang. 

Beliau berkata keputusan itu adalah hasil proses perundangan yang panjang dan telus, sekali gus menegaskan tiada mana-mana individu berada di atas undang undang.

“Ia wajar diterima dengan penuh kematangan sebagai asas pemulihan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman dan institusi negara, serta peringatan bahawa keadilan mesti ditegakkan melalui proses sah dan beradab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak, 72, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Ahmad Fahmi berkata keadilan bukan semata-mata hasil keberanian individu tertentu tetapi lahir daripada ekosistem perjuangan kebenaran bersama wartawan penyiasat, pemberi maklumat, pegawai institusi berintegriti, aktivis masyarakat sivil, ahli akademik serta rakyat yang konsisten mempertahankan kebenaran walaupun berdepan tekanan dan risiko.

Beliau berkata skandal 1MDB bukan sekadar jenayah kewangan tetapi jenayah terhadap amanah dan tamadun yang merompak masa depan generasi muda, merosakkan kepercayaan rakyat, mencemarkan integriti politik serta menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa sebagai antara kes kleptokrasi terbesar dunia.

“Hakikat ini mencerminkan kegagalan tadbir urus akibat pemusatan kuasa tanpa mekanisme pengawasan berkesan dan tanpa sandaran nilai moral yang kukuh,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata hukuman berat yang dijatuhkan bukan untuk membalas dendam tetapi sebagai peringatan bahawa pengkhianatan terhadap amanah rakyat membawa akibat serius serta menghukum individu sahaja tidak mencukupi jika sistem yang memungkinkan penyalahgunaan kuasa terus rapuh.

Beliau berkata keputusan itu harus menjadi pemangkin kepada reformasi Kerajaan MADANI dalam struktur tadbir urus negara termasuk pengukuhan sistem semak dan imbang, kebebasan institusi kehakiman, ketelusan pengurusan dana awam serta penolakan budaya politik yang membina kultus individu.

“ABIM menggesa pengajaran skandal 1MDB dimanfaatkan untuk menilai semula pemusatan kuasa eksekutif dan fiskal, termasuk membincangkan pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, sebagai langkah pencegahan jangka panjang demi memperkukuh amanah dan keyakinan rakyat,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata keputusan mahkamah itu harus menjadi pengajaran penting kepada ahli politik dan generasi muda kerana normalisasi rasuah berskala besar serta politik wang akan merosakkan nilai dan menjejaskan keyakinan terhadap masa depan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan