AM

Penggunaan Hampir Menyeluruh Cerminkan Kepentingan SARA

26/12/2025 02:21 PM

IPOH, 26 Dis (Bernama) -- Kadar penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang hampir mencecah 100 peratus khususnya di beberapa negeri menunjukkan kepentingan bantuan itu dalam membantu mengurus keperluan harian penerima. 

Dengan senarai barangan yang semakin luas, penerima kini mempunyai lebih pilihan sekali gus membolehkan bantuan itu digunakan secara lebih fleksibel dan praktikal mengikut keperluan masing-masing. 

Bagi pesara polis, Mohd Noor Mohd Yusoff, 68, dari Taman Chemor Sejahtera, penambahan barangan yang boleh dibeli menggunakan SARA membantu mengurangkan perbelanjaan harian yang sebelum ini perlu ditampung menggunakan wang sendiri. 

“Pada awal pelaksanaan, barangan yang boleh dibeli agak terhad. Sekarang banyak keperluan sudah dimasukkan dalam senarai, termasuk biskut dan makanan dalam tin seperti sardin,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini.

Beliau yang menerima bantuan bulanan SARA sejak dilancarkan berkata sepanjang tahun ini, jumlah bantuan diterimanya termasuk tambahan khas mencecah kira-kira RM1,100. 

“Bantuan bulanan itu membantu saya menguruskan perbelanjaan dengan lebih teratur dan wang pencen boleh digunakan untuk keperluan perubatan isteri yang menghidap strok,” katanya. 

Sementara itu, bekas jurutera Dzahar Yaakub, 67, berkata bantuan tunai  RM100 secara sekali beri memberi ruang perbelanjaan lebih fleksibel, khususnya bagi isi rumah yang mempunyai lebih daripada seorang penerima.

“Walaupun RM100 seorang, sebuah isi rumah sudah ada beberapa orang (dewasa), jumlah itu boleh digabungkan untuk membeli keperluan dapur dan sangat membantu, Kalau tidak cukup, kita tambah sikit,” katanya.

Bagi pekerja swasta Anuar Nazeri, 53, SARA bukan sahaja membantu perbelanjaan dapur, malah meringankan tanggungan keluarga yang mempunyai anak melanjutkan pelajaran. 

“Bantuan yang saya terima digunakan untuk beli barang dapur seperti minyak masak, beras dan barangan asas lain. Anak saya yang berumur 19 tahun pula menggunakan bantuan RM100 untuk keperluannya di politeknik,” katanya.

Dalam pada itu, usahawan Mohd Azlan Shahul Hamid, 49, melihat pelaksanaan SARA sebagai satu inisiatif yang sangat bermanfaat untuk penerima, selain mencerminkan bagaimana hasil negara disalurkan kembali kepada rakyat. 

“Selain itu, sumbangan ini boleh digunakan hingga Disember. Baguslah sebab hujung tahun (persiapan) buka sekolah dan sebagainya, kita boleh pakai,” katanya.

Pada 18 Dis, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan kadar purata penggunaan SARA menghampiri 100 peratus.

Setakat tempoh itu, hampir 5.6 juta penerima SARA sudah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis berdaftar, mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 99 peratus secara keseluruhan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM4.59 bilion.

Bagi penghargaan SARA sekali beri kepada lebih 22 juta rakyat dewasa, lebih 20 juta rakyat atau 92 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima telah berbelanja, dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1.91 bilion.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan