KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia menganjurkan webinar mengenai ‘Kecerdasan Buatan (AI) dan Peranannya dalam Sektor Tenaga’ untuk meneroka bagaimana teknologi digital canggih membentuk masa depan tenaga lestari.
SEDA Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata webinar itu berfungsi sebagai sesi perkongsian pengetahuan strategik bagi menyokong agenda tenaga bersih Malaysia dan inisiatif perbincangan awal menjelang Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2026.
Timbalan Pengarah Perancangan Strategik SEDA Malaysia Dr Khairunnisa Kamarul Zaman, mengetengahkan tentang peranan SEDA sebagai organisasi tenaga lestari utama negara dan menekankan kepentingan penglibatan belia merentasi program dan inisiatif agensi tersebut.
“SEDA maklum bahawa peralihan tenaga merupakan satu usaha jangka panjang yang memerlukan penglibatan generasi muda, terutamanya mereka yang mempunyai kemahiran dan minat dalam AI dan teknologi digital,” katanya.
Pada sesi utama webinar, Pengarah Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Dr. Mohd Ibrahim Shapiai @ Abd Razak berkongsi tentang kepentingan AI dan aplikasi teknologi berasaskan AI yang semakin meningkat dalam menangani cabaran dunia sebenar dalam sektor tenaga, termasuk penyelesaian bandar pintar.
Sementara itu, Pengarah Perancangan Strategik SEDA Malaysia Saiful Hakim Abdul Rahman turut berkongsi pandangan tentang pelaksanaan AI dalam sektor tenaga negara dalam bidang seperti ramalan permintaan tenaga, pengoptimuman sistem dan pengurusan grid pintar, serta cabaran dan hala tuju dalam memajukan pembangunan dan penerimaan AI di negara ini.
Webinar tersebut diakhiri dengan pelancaran awal Cabaran Inovasi SEDA (SIC) oleh Saiful Hakim. “Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan belia membangunkan idea dan penyelesaian inovatif bagi tenaga lestari, sambil mengiktiraf AI sebagai alat pengupaya utama yang boleh dimanfaatkan untuk memacu inovasi tenaga yang lebih luas,” kata agensi tersebut.
SEDA Malaysia berkata ia terus komited untuk membimbing bakat yang bersedia bagi perubahan pada masa hadapan dan memupuk inovasi melalui program pelaburan strategik seperti webinar dan SIC untuk memperkukuh peranannya dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia dan saluran profesional mahir menjelang ISES 2026.
Agensi itu juga mempelawa orang ramai mengunjungi ISES 2026, yang dijadualkan berlangsung pada 11-12 Ogos 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan butiran pendaftaran akan diumumkan kemudian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial