KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Usaha untuk memperluas pelan hala tuju tenaga Malaysia memerlukan pelaburan berterusan, infrastruktur kukuh dan kolaborasi bersama penggubal dasar, pembiaya dan rakan serantau, termasuk bekerjasama dengan pemain teknologi ASEAN dan juga global.
Ketua pegawai rangkaian pengagihan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Mahathir Nor Ismail berkata penyelarasan pembangunan infrastruktur, pembiayaan dan kesalinghubungan serantau penting bagi menyokong masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan, saling berkaitan dan lestari untuk Malaysia dan ASEAN.
“Malaysia sedang menterjemahkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke dalam pelaksanaan dunia sebenar dengan memperkukuh kesediaan grid di peringkat pengagihan,” katanya semasa berucap di Pavilion Malaysia di COP30.
NETR ialah pelan strategik kerajaan yang dilancarkan pada 2023 untuk negara beralih daripada bahan api fosil kepada ekonomi hijau menjelang 2050, dengan memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, hidrogen, biotenaga dan mobiliti hijau.
Bagaimanapun, katanya, untuk mempercepat usaha peralihan tenaga memerlukan lebih daripada sekadar penggunaan tenaga boleh baharu sahaja.
“Daya tahan grid, fleksibiliti sistem dan keterlihatan digital adalah asas kritikal,” kata Mahathir, yang juga merupakan ketua pegawai kanan rangkaian TNB mulai Januari 2026.
COP30, atau secara rasmi dikenali sebagai Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025, dan juga Persidangan Pihak-pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), adalah sesi ke-30 Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Persidangan itu berlangung di Hangar Convention Centre di Belém, Brazil, pada bulan lepas.
“Inisiatif seperti sistem kawalan penyeliaan dan pemerolehan data (SCADA) lanjutan, automasi rangkaian dan sistem penyimpanan tenaga bateri disebut sebagai pengupaya penting untuk menyokong penembusan lebih tinggi dalam tenaga boleh baharu sambil mengekalkan kebolehpercayaan dan kestabilan sistem,” katanya.
TNB telah menggunakan sistem SCADA sejak 2006.
SCADA merupakan teknologi utama untuk memantau dan mengawal dari jarak jauh grid kuasa Malaysia daripada penjanaan hingga kepada penghantaran dan pengagihan, yang membolehkan pengesanan kerosakan masa nyata, pemulihan dengan segera dan pengurusan grid yang lebih pintar, termasuk penyepaduan tenaga boleh baharu seperti solar.
Berdasarkan pengalaman serantau, Mahathir memetik Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura dan Grid Kuasa ASEAN sebagai contoh praktikal bagaimana kesalinghubungan rentas sempadan, kepercayaan operasi dan penyelarasan kawal selia boleh menggerakkan perancangan kepada pelaksanaan di rantau ini.
Menyepadukan risiko iklim ke dalam perancangan infrastruktur
Di Pavilion ASEAN, ketua pegawai kelestarian TNB Leo Pui Yong, menekankan tentang bagaimana utiliti negara bertindak balas terhadap risiko iklim merentasi sistem infrastruktur yang kompleks dan sangat terdedah, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh penyesuaian iklim.
Beliau berkata dengan lebih 90,000 aset beroperasi di seluruh negara, sesi tersebut mengetengahkan tentang bagaimana banjir, haba melampau, kenaikan paras laut dan gangguan berkaitan cuaca lain telahpun menjejaskan prestasi infrastruktur.
"Realiti ini meletakkan penyesuaian iklim bukan sebagai aspirasi masa depan, tetapi sebagai keutamaan kebolehpercayaan sistem segera yang mesti ditangani merentasi perancangan, operasi dan reka bentuk aset," katanya.
Menurutnya, pendekatan TNB menyepadukan penilaian risiko iklim yang sistematik, parameter iklim yang dinamik dan analisis berasaskan data ke dalam perancangan infrastruktur jangka panjang, pembangunan aset dan pembuatan keputusan operasi adalah untuk memperkukuh daya tahan keadaan iklim pada masa hadapan.
“Membina infrastruktur berdaya tahan memerlukan kolaborasi rentas sektor, data dikongsi, tadbir urus kukuh dan kerjasama serantau, yang membolehkan utiliti, kerajaan dan rakan di seluruh ASEAN menyelaraskan perancangan, mengurus risiko secara kolektif dan melindungi komuniti sambil menyokong pertumbuhan mampan dan peralihan yang adil,” kata Leo.
Mengukuh rantaian bekalan mampan bagi peralihan lancar
Ketua Pegawai Perolehan TNB, Amir Mahmod Abdullah berkata perolehan mampan memainkan peranan penting dalam memastikan peralihan tenaga yang inklusif dan boleh dikembangkan merentasi industri lebih meluas.
Beliau berkata TNB menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam penglibatan pembekal, pembangunan keupayaan dan proses perolehan untuk inisiatif didorong NETR, termasuk tenaga boleh baharu dan pengembangan grid, bagi menyokong kesediaan industri dan daya tahan jangka panjang.
Menurutnya, inisiatif seperti Tata Kelakuan Perolehan Lestari (SPCC) TNB menyediakan rangka kerja berstruktur untuk membimbing pembekal dalam memenuhi jangkaan ESG di samping menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyesuaikan diri dengan keperluan kawal selia dan pasaran yang sentiasa berubah.
Bagi melengkapkan usaha industri, rangka kerja i-ESG Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia menyediakan sokongan berperingkat kepada pengilang, terutamanya PKS, dalam menyepadukan piawaian ESG, termasuk kesediaan bagi keperluan antarabangsa seperti Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah.
Pada sesi bertajuk ”Strengthening Sustainable Supply Chains for a Just Transition” di COP30, Amir menekankan tentang kepentingan menyelaraskan amalan perolehan dengan prinsip ESG bagi menyokong kesediaan industri, ketelusan pembekal dan peralihan yang lebih inklusif merentasi rantaian nilai tenaga.
Sesi tersebut dihadiri pegawai utiliti, pengawal selia dan rakan-rakan ASEAN untuk melihat bagaimana inisiatif kebangsaan seperti SPCC Malaysia dan rangka kerja i-ESG, di samping rangka kerja sejajar ESG serantau, dapat menyokong pendekatan yang lebih terselaras untuk penyahkarbonan rantaian bekalan dan memperkukuh kesediaan industri di seluruh ASEAN.
Amir berkata dengan menyelaraskan piawaian, menggalakkan ketelusan pembekal dan memanfaatkan alatan digital untuk kebolehkesanan, ASEAN boleh membina ekosistem baharu yang mana rantaian bekalan mampan menjadi garis dasar, bukan pengecualian.
Pavilion Malaysia di COP30 membawakan tema “ “Climate Action Now: Net Zero Pathway Unlocked,” mencerminkan komitmen teguh negara untuk mempercepatkan tindakan iklim dan memperkukuh kerjasama serantau.
Mahathir, Leo dan Amir mewakili TNB di COP30 dengan menyumbang perspektif merentasi rantaian nilai peralihan tenaga, daripada kesediaan grid dan salinghubungan serantau kepada perancangan infrastruktur yang berdaya tahan iklim dan amalan perolehan yang mampan.
Sesi-sesi tersebut mengetengahkan kepentingan pelaburan yang mampan, sistem berdaya tahan dan kerjasama merentasi sektor dalam menyokong NETR Malaysia dan memajukan tenaga yang lebih terjamin, inklusif dan mampan untuk ASEAN pada masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial