JENAYAH & MAHKAMAH

Najib Fail Notis Rayuan Terhadap Sabitan Dan Hukuman 1MDB

30/12/2025 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata notis tersebut difailkan pada malam 29 Dis. Perkara itu turut disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib.

Rayuan itu mencabar sabitan yang dibacakan Jumaat lalu oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana milik kerajaan.

Bagi pertuduhan penyalahgunaan kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda keseluruhan sebanyak RM11.4 bilion, atau dipenjara 40 tahun jika gagal membayarnya.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikenakan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa sebarang denda dikenakan.

Bekas perdana menteri berusia 72 tahun itu hanya akan menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Hukuman ini akan berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun bagi kes membabitkan SRC International, yang akan berakhir pada 23 Ogos 2028.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan