AM

Ahli Pengakap Berperanan Jadi Ejen Keamanan

27/12/2025 10:19 PM

SUNGAI PETANI, 27 Dis (Bernama) -- Ahli pengakap memainkan peranan penting sebagai ejen keamanan dalam usaha memupuk keharmonian, perpaduan dan nilai kemanusiaan dalam masyarakat.

Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata keamanan bukanlah sesuatu yang wujud secara kebetulan atau diwarisi secara automatik sebaliknya merupakan satu proses yang diusahakan dan dibentuk melalui pendidikan, nilai serta kepimpinan berakhlak. 

"Terdapat kira-kira 300,000 ahli pengakap berdaftar di seluruh negara dan selaras dengan prinsip pendidikan keamanan yang ditekankan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), mereka berperanan sebagai ejen keamanan masyarakat.

“Keamanan bukan sekadar ketiadaan konflik atau peperangan... keamanan ialah perjalanan berterusan yang bermula dalam diri individu dan diperkukuh melalui hubungan sesama manusia," katanya semasa berucap pada majlis pembukaan Seminar Keamanan di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Beliau berkata pergerakan pengakap menyediakan ekosistem pendidikan tidak formal yang berkesan membentuk generasi muda berkeupayaan mengurus perbezaan, berempati dan berani mempertahankan keadilan dengan kebijaksanaan. 

"Inilah yang diterjemahkan oleh pengakap melalui sistem patrol, khidmat masyarakat, disiplin, kerjasama dan rasa hormat.

"Dalam dunia yang semakin menyaksikan perpecahan sosial, kebencian, maklumat palsu dan krisis kemanusiaan global, pendidikan keamanan tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan sampingan sebaliknya menjadi keperluan asas peradaban manusia," katanya.

Mohd Zin berkata ahli pengakap di semua peringkat digalakkan bukan sekadar membincangkan konsep keamanan tetapi juga menghidupkan nilai tersebut dalam tindakan harian.

Seminar Pendidikan Keamanan anjuran PPM dengan kerjasama The Prem Rawat Foundation (TPRF) dan Akademi Pengakap Negara itu turut dihadiri kira-kira 70 peserta dari seluruh negeri. 

Hadir sama Pengurus Wilayah Pasifik Utara TPRF Datin Paduka Dr Santha Kumari Natkunam, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kedah Ahmad Din dan Pengarah Akademi Pengakap Negara Profesor Madya Dr Abdul Rashid Mohamad.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan