DUNIA

Malaysia Suarakan Kebimbangan Terhadap Peningkatan Konflik Di Yaman

27/12/2025 06:50 PM

PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Kerajaan Malaysia menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketegangan di Yaman baru-baru ini, khususnya berhubung laporan operasi ketenteraan secara sehala dan kemaraan Majlis Peralihan Selatan (Southern Transitional Council - STC) di wilayah timur Hadramawt dan Al-Mahra.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar berkata Malaysia juga amat bimbang dengan laporan bahawa tindakan STC telah meningkatkan ketegangan dan mengancam keadaan keselamatan yang sedia rapuh. 

“Perkembangan ini berisiko menjejaskan kemajuan yang telah dicapai ke arah penyelesaian politik, mencetuskan perpecahan, serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh rakyat Yaman,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut mengulangi sokongan penuh terhadap Majlis Kepimpinan Presiden (Presidential Leadership Council - PLC) dan Kerajaan Republik Yaman sebagai pihak berkuasa yang diiktiraf untuk memimpin negara itu melalui proses peralihan dan pembinaan keamanan. 

“Malaysia menegaskan kepentingan menghormati kerangka perlembagaan dan politik Yaman, serta menggesa semua pihak untuk terus komited kepada dialog dan rundingan secara aman, menyelesaikan pertelingkahan melalui kaedah politik dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan negara itu.

“Malaysia juga menekankan bahawa keamanan yang berkekalan di Yaman hanya dapat direalisasikan melalui rundingan yang konstruktif, pendamaian menyeluruh antara semua pihak di Yaman, serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar menegaskan Malaysia terus berdiri teguh bersolidariti bersama rakyat Yaman yang terus dibelenggu penderitaan berpanjangan dan keperluan kemanusiaan yang mendesak.

Malaysia juga memuji usaha berterusan oleh Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dalam membantu meredakan ketegangan. 

“Malaysia menggalakkan semua pemain serantau dan antarabangsa untuk menyokong inisiatif-inisiatif bertujuan untuk menegakkan kedaulatan, integriti wilayah dan kemerdekaan Yaman,” menurut kementerian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan