JENAYAH & MAHKAMAH

Zulhelmy Pangku Tugas Panglima ATM Serta-merta, Kata Mohamed Khaled

27/12/2025 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain akan memangku tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera (ATM) berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata lantikan itu berikutan persaraan wajib Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.

“Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan dan jasa Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar sepanjang menerajui ATM serta mendoakan kelancaran urusan persaraan beliau,” katanya.

Zulhelmy dilantik sebagai Panglima Tentera Laut pada 23 Sept lepas, menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang bersara.

Pada 31 Jan lepas, Mohd Nizam, 59, dilantik sebagai Panglima ATM ke-23, menjadikan beliau pegawai kanan pertama di luar barisan ketua perkhidmatan sedia ada yang memegang jawatan tertinggi itu.

Mohd Nizam, yang merupakan seorang pegawai Tentera Darat, dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral pada 23 Feb tahun lepas dan pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya Komandan Kolej Pertahanan Nasional, Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat serta Panglima Briged Infantri ke-2 Tentera Darat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan