EKONOMI

Unit Yinson Meterai PPA 15 Tahun Dengan Genesis Energy Dari New Zealand

22/12/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung Yinson Holdings Bhd, Mt Cass Wind Farm Ltd (MCWFL) telah memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 15 tahun dengan Genesis Energy Ltd daripada ladang angin 94.6 megawatt (MW) yang terletak di Pulau Selatan New Zealand.

Yinson dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata loji yang akan dibina oleh MCWFL itu bernilai RM1.2 bilion dan operasi komersial disasarkan untuk dimulakan pada separuh kedua 2028.

"PPA tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan syarikat Yinson," katanya.

Sementara itu, Yinson berkata risiko utama yang menjejaskan PPA adalah berkaitan dengan pelaksanaan projek seperti tidak menepati jadual ditetapkan serta risiko pelaksanaan operasi berkaitan dengan penghantaran tahap penjanaan kuasa diperlukan kepada Genesis.

“Risiko sedemikian wujud dalam perniagaan Kumpulan Yinson dan dijangka dapat dikurangkan oleh pengalaman dan kepakaran kumpulan Yinson dalam industri boleh diperbaharui serta kawalan dalaman dan rancangan pelaksanaan projek untuk memastikan pemenuhan skop kerja yang diperlukan di bawah PPA,” katanya.

Genesis ialah penjana tenaga dan peruncit disenaraikan di Bursa Saham New Zealand (NZX) dan Bursa Sekuriti Australia (ASX) yang menjual tenaga elektrik, gas asli retikulasi dan gas petroleum cecair kepada lebih 520,000 pelanggan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan