EKONOMI

Anak Syarikat Malakoff Meterai PPA 21 Tahun Dengan TNB Bagi Projek Solar Di Perak

19/12/2025 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd berkata anak syarikat 80 peratus miliknya, Malakoff Silver Solar Sdn Bhd (MSSSB), menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk projek fotovoltaik solar berkapasiti 470 megawatt arus ulang-alik (MWac) di Perak.

Malakoff berkata di bawah PPA itu, MSSSB akan membangunkan, memiliki dan mengendalikan kemudahan fotovoltaik solar di Windsor Estate di Larut dan Matang, serta menjual tenaga elektrik yang dijana kepada TNB sepanjang tempoh kontrak.

“PPA ini menetapkan terma di mana elektrik yang dihasilkan oleh kemudahan itu akan dijual kepada dan dibeli oleh TNB selama 21 tahun bermula daripada tarikh operasi komersial yang dijadualkan, yang dijangka pada suku pertama 2028,” katanya dalam makluman kepada bursa saham.

Syarikat itu berkata pemeteraian PPA berkenaan dijangka tidak memberi sebarang kesan material ke atas aset bersih dan pendapatan kumpulan Malakoff bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025.

“Bagaimanapun, kumpulan Malakoff menjangkakan kemudahan itu memberi sumbangan pendapatan yang positif bermula daripada tarikh operasi komersial sepanjang tempoh 21 tahun,” katanya.

Malakoff juga berkata ia tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kemudahan itu dan akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko apabila ia berlaku.

MSSSB ialah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan untuk melaksanakan projek itu dan dimiliki bersama oleh Malakoff dan Solarvest Holdings Bhd, dengan pegangan saham masing-masing sebanyak 80 peratus dan 20 peratus.

Sementara itu, dalam satu makluman berasingan, Solarvest berkata Malakoff Silver akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan penjanaan tenaga fotovoltaik solar berkapasiti 470 megawatt arus ulang-alik (MWac) yang terletak di Windsor Estate di Larut dan Matang, Perak.

“Projek ini akan menjana, menghantar dan menjual tenaga fotovoltaik solar kepada TNB sepanjang tempoh PPA,” katanya sambil menambah ia menjangkakan sumbangan pendapatan yang positif daripada kemudahan itu bermula daripada tarikh operasi komersial sepanjang 21 tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan