AM

Agensi Bantuan PBB Tayang Filem Perang Di M'sia

03/12/2005 05:16 PM
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Dua agensi bantuan
antarabangsa akan
mengadakan tayangan filem perang untuk tontonan rakyat Malaysia sempena
program "War and Flight -- The Need for Humanitarian Action" di sini bulan
ini.

Filem popular terbabit termasuk Hotel Rwanda, Killing Fields, Children
of Ibdaa, The Lost Boys of Sudan.

Program tayangan filem itu yang akan diadakan di Institut Asia Eropah,
Universiti Malaya dari 9 hingga 11 Dis, dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya
Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) dan Jawatankuasa
Palang Merah Antarabangsa (ICRC) Malaysia.

"Program itu akan membawakan kepada anda tayangan filem mengenai
peperangan dan kesannya yang dahsyat terhadap masyarakat.

"Ia juga akan mempamerkan sifat kemanusiaan yang wujud di sebaliknya --
mangsa perang yang meneruskan kehidupan dengan penuh bersemangat, kekuatan,
perasaan cinta dan harapan untuk membina semula kehidupan mereka dalam
keadaan maha dahsyat, selalunya di negara orang," kata agensi tersebut
dalam kenyataan bersama mereka di sini hari ini.

Selain tayangan filem, program ini juga akan diisi dengan majlis
diskusi pada 10 Dis yang turut disertai Penasihat Serantau ICRC Prof Umesh
Kadam bagi membincangkan isu kemanusiaan berkaitan konflik yang wujud
sekarang serta nasib mereka yang menderita akibat peperangan.

Pada 11 Dis pula, satu dialog umum akan diadakan yang menampilkan
kehadiran wakil UNHCR serta seorang pelarian wanita yang akan menceritakan
pengalamannya sebagai mangsa perang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan