BUTTERWORTH, 19 Jan (Bernama) -- Syntiant Corp., penyedia penyelesaian kecerdasan buatan (AI) kuasa rendah global membuka kampus pembuatan, dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertaraf dunia baharu di Pulau Pinang dengan pelaburan sebanyak US$15 juta (RM60.8 juta).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama, Kurt Busch berkata pelaburan itu menunjukkan operasi syarikat yang berkembang dengan ketara di peringkat global dan mengukuhkan komitmen jangka panjangnya terhadap Asia Tenggara.
Beliau berkata kemudahan baharu itu akan berperanan sebagai hab utama bagi pembuatan dan R&D, membolehkan Syntiant mempercepat inovasi, meningkatkan sokongan pelanggan dan mengukuhkan kerjasama di seluruh rantaian nilai semikonduktor.
"Pengembangan ini menandakan kejayaan penting dalam pertumbuhan Syntiant di Asia dan memperteguh peranan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab strategik bagi pembuatan semikonduktor dan AI generasi akan datang.
“Terletak berhampiran satu daripada kemudahan pembuatan mikrofon termaju di dunia, kampus di Pulau Pinang ini menjadikan syarikat dalam kedudukan yang membolehkan inovasi dipercepatkan di samping menyokong ekosistem teknologi Malaysia yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kampus pembuatan dan R&D itu di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo.
Busch berkata kampus baharu itu menambah keluasan operasi Syntiant di Pulau Pinang kepada dua kali ganda iaitu kira-kira 220,000 kaki persegi sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kepada sekitar 1.6 bilion unit.
Kemudahan ini menghimpunkan operasi pengeluaran, kejuruteraan dan penyelidikan AI di bawah satu bumbung, menyokong tenaga kerja sehingga 800 orang serta dilengkapi dengan pemprosesan sistem mikro-elektro-mekanikal (MEMS) termaju, penyediaan litar bersepadu dan keupayaan ujian dan pemasangan.
Beliau berkata pengembangan ke Asia Tenggara adalah langkah strategik yang didorong oleh potensi pertumbuhan rantau yang kukuh, kesalinghubungan perdagangan dan akses kepada pasaran utama merentasi Asia Timur dan Oceania.
Busch berkata Malaysia menonjol sebagai lokasi yang ideal berikutan mempunyai ekosistem semikonduktor yang matang, tenaga kerja mahir dan dasar mesra pelabur.
Katanya pelaburan strategik Khazanah Nasional Bhd dalam syarikat itu mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan R&D dalam semikonduktor dan AI terkandung -- pemacu utama dalam peralihan kepada pertuturan sebagai saling hubungan utama.
Sementara itu, CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dalam kenyataan berkata pengembangan Syntiant di Pulau Pinang adalah pelaburan penting yang meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam AI generasi akan datang dan inovasi semikonduktor termaju.
Beliau berkata, dengan mengukuhkan aktiviti bernilai tinggi seperti AI terkandung dan pemprosesan MEMS di dalam negara, kemudahan itu memperkukuh kemampuan teknologi, memacu pertumbuhan berteraskan inovasi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
“Ia merupakan keyakinan yang jelas daripada pelabur global terhadap bakat, infrastruktur dan ekosistem Malaysia serta mengukuhkan misi kami untuk menjadikan negara ini sebagai hab pilihan bagi elektronik termaju dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial