JENAYAH & MAHKAMAH

Inisiatif Peruntukan Deeming MCMC Langkah Perkukuh Keselamatan Digital Negara - KPN

15/12/2025 05:21 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Inisiatif Peruntukan Deeming atau deemed licence yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ialah langkah awal memperkukuh tadbir urus platform digital serta meningkatkan keselamatan dalam talian di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Beliau berkata hal ini kerana ekosistem digital masa kini menuntut pengawalseliaan lebih responsif terhadap ancaman dan penyalahgunaan platform digital bagi aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan ekstremisme.

Beliau berkata usaha itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC untuk melindungi dan memastikan rakyat Malaysia selamat dalam persekitaran siber pada masa hadapan.

“PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan agensi lain melalui pendekatan whole-of-government.

“Hal ini bagi memastikan mekanisme baharu yang sedang dimuktamadkan dapat meningkatkan keberkesanan siasatan, memperkukuh perkongsian maklumat serta mempercepat tindakan terhadap kandungan atau aktiviti berbahaya di ruang digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peruntukan Deeming merujuk kepada mekanisme di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membolehkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia dianggap berdaftar secara automatik sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)].

Mohd Khalid berkata PDRM akan terus melaksanakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang semasa dan meningkatkan kesiapsiagaan dalaman agensi itu bagi memastikan kerangka keselamatan digital yang bakal diperkenalkan dapat disokong dengan berkesan.

“PDRM yakin pelaksanaan rangka kerja baharu ini akan meningkatkan perlindungan kepada rakyat, memantapkan integriti ruang digital negara dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan dengan penyedia platform digital,” katanya.

Menurut Mohd Khalid, langkah yang diperkenalkan MCMC itu turut menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan generasi masa hadapan, khususnya kanak-kanak dan keluarga, terus terjamin dalam landskap siber yang semakin mencabar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan