AM

Syarikat Telekomunikasi Perlu Berubah Hadapi Cabaran Teknologi Baharu - Fahmi

16/12/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Syarikat telekomunikasi negara perlu menyesuaikan struktur dan model perniagaan bagi menghadapi cabaran baharu, selari perkembangan pesat teknologi komunikasi global, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kemunculan teknologi seperti komunikasi kuantum, penyulitan kuantum dan komunikasi satelit dijangka mengubah landskap industri dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sekali gus menuntut penyesuaian segera daripada pemain industri.

“Cabaran ini bukan sahaja dari aspek keselamatan, tetapi juga ekonomi. Antara perkara paling besar ialah bagaimana syarikat telekomunikasi menyesuaikan diri,” katanya pada Majlis Penyerahan Anugerah Biasiswa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2025 di sini hari ini.

Fahmi mengambil contoh Telekom Malaysia (TM) yang kini beralih daripada perkhidmatan telefon konvensional kepada sebuah syarikat teknologi.

“Dahulu bila sebut TM, kita angkat gagang telefon… hari ini TM adalah technology company. Trend bagi syarikat telekomunikasi akan berubah daripada telco kepada tech-co,” katanya yang juga jurucakap Kerajaan MADANI.

Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan teknologi baharu kepada generasi muda yang ingin menceburi bidang komunikasi dan telekomunikasi, termasuk komunikasi kuantum dan teknologi satelit, bagi memastikan daya saing masa depan.

Dalam majlis sama, Fahmi menyampaikan Anugerah Biasiswa MCMC kepada lima pelajar cemerlang menerusi program MCMC LEGASI dan 20 pelajar melalui MCMC CARE, sebagai usaha membangunkan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor komunikasi dan multimedia negara.

Beliau juga mengumumkan hasrat MCMC menawarkan biasiswa kepada lima pelajar cemerlang dari Palestin dalam jurusan kejuruteraan rangkaian atau radio di Universiti Multimedia (MMU), Malaysia, dengan kerjasama Kedutaan Palestin.

Menurutnya, inisiatif biasiswa pendidikan itu memberi keutamaan kepada golongan muda sama ada dari Gaza, Ramallah, Tebing Barat, Nablus atau wilayah lain di Palestin yang berminat mendalami bidang kejuruteraan rangkaian atau radio.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan