Oleh Siti Noor Afera Abu
LAS VEGAS, 5 Dis (Bernama) -- Syarikat-syarikat di ASEAN, termasuk Malaysia, perlu memberi tumpuan kepada matlamat perniagaan yang jelas, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan kepimpinan yang kukuh untuk memaksimumkan manfaat daripada teknologi kecerdasan buatan (AI) dan awan.
Eksekutif Amazon Web Services (AWS), Jake Burns berkata kebanyakan organisasi dilihat agak terburu-buru dalam melaksanakan AI tanpa mengaitkannya dengan nilai perniagaan.
Beliau menasihatkan supaya syarikat perlu mengenal pasti masalah yang ingin diselesaikan sebelum menggunakan AI sebagai alat untuk menghasilkan pulangan yang jelas dan dapat dinilai.
“Antara punca organisasi tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan adalah kerana mereka terlalu teruja dengan keupayaan AI, lalu memulakan inisiatif hanya dengan matlamat untuk menggunakan AI semata-mata,” katanya kepada wartawan ASEAN di luar persidangan AWS re:Invent 2025 pada Khamis.
AWS re:Invent 2025 ialah persidangan teknologi terbesar syarikat itu, menghimpunkan kira-kira 60,000 pemain industri, berlangsung dari 1 hingga 5 Dis di Las Vegas.
Mengulas lanjut, Burns turut menekankan bahawa kejayaan penerapan AI turut mengambil kira peningkatan kemahiran tenaga kerja dengan faktor manusia menjadi penentu utama berbanding teknologinya.
Mengenai trend penggunaan awan di ASEAN, beliau berkata awan awam kekal sebagai pilihan paling kukuh dalam kalangan perusahaan global dan serantau.
Ini kerana penyelenggaraan infrastruktur awan persendirian adalah mahal dan tidak dapat menandingi kebolehkembangan serta kelajuan inovasi platform awan awam seperti AWS, termasuk perkhidmatan AI yang berkembang terlalu pantas untuk dikejar oleh sistem persendirian, kata beliau.
Burns berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di ASEAN, khususnya di Malaysia dan Indonesia, merupakan kumpulan yang paling berpotensi mendapat manfaat kerana mereka tidak mempunyai modal dan sumber teknikal yang besar seperti syarikat-syarikat besar.
Kejayaan penggunaan AI dalam PKS juga memerlukan tenaga kerja berkemahiran, kerana pengalaman praktikal lebih penting berbanding teori, katanya.
“Syarikat yang menggabungkan AI dengan tenaga kerja berkemahiran akan memperoleh kelebihan daya saing yang lebih kukuh, dan berkemungkinan menambah bilangan pekerja, bukan mengurangkannya,” kata beliau.
Burns turut berkata bahawa kerajaan perlu lebih fleksibel dalam merangka pelan hala tuju AI jangka panjang, memandangkan teknologi itu berkembang dengan pantas.
“Dalam era AI sekarang, pelan lima tahun hampir pasti tidak lagi relevan,” katanya.
Sementara itu, pakar di AWS, Michael Kearns berkata meskipun prinsip saintifik bagi AI bertanggungjawab adalah bersifat sejagat, namun, setiap negara mempunyai pendekatan perundangan yang berbeza-beza.
Justeru, katanya, AWS sentiasa meneliti perubahan peraturan di seluruh dunia dan berusaha berada di hadapan keperluan pematuhan agar syarikat tidak terperangkap dengan undang-undang yang bergerak pantas.
"Syarikat tidak mahu berada dalam keadaan sentiasa terkejar-kejar untuk mematuhi peraturan yang berubah-ubah," katanya, sambil menegaskan keperluan kepada peraturan yang praktikal, munasabah dan tidak terlalu luas skopnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial