IPOH, 14 Mac (Bernama) -- Sebanyak 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan Fiesta Raya Ipoh 2026 Riverfront @ Old Town yang berlangsung di Kinta Riverwalk di sini bermula semalam hingga 18 Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata program yang berlangsung selama enam hari itu menampilkan bazar raya yang menghimpunkan pelbagai gerai menjual makanan, pakaian, aksesori, produk kraf tangan serta kuih raya.
“Program ini diadakan sempena sambutan Aidilfitri serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang memberi peluang kepada pelancong merasai pengalaman budaya serta menyemarakkan suasana perayaan di bandar raya Ipoh.
“Selain jualan, terdapat pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan oleh pelajar Sekolah Seni Malaysia Perak, demonstrasi silat, persembahan roti canai terbang serta demonstrasi kraf tangan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Fiesta Raya Ipoh 2026 Riverfront @ Old Town di Kinta Riverwalk di sini hari ini yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Loh berkata penganjuran program itu juga diselaraskan oleh Tourism Perak dengan kerjasama 11 jabatan dan agensi kerajaan serta bazar komuniti.
“Program ini juga dijangka menyumbang kepada peningkatan aktiviti pelancongan di bandar raya Ipoh serta merancakkan ekonomi setempat melalui penglibatan usahawan kecil dan sederhana,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 11.6 juta pelancongan akan mengunjungi Perak seiring pelaksanaan Tahun Melawat Perak 2026.
“Penganjuran acara pelancongan berimpak tinggi seperti ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan negeri ini kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan utama yang menawarkan pengalaman budaya yang autentik dan pelbagai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial