JENAYAH & MAHKAMAH

Operasi SAR Di Taman Prima Saujana Dihentikan Sementara, Sambung Semula 8 Pagi - Polis

05/12/2025 01:11 AM

KAJANG, 5 Dis (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang lagi remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras bersama adiknya ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana dihentikan sementara pada 12 malam ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata keputusan itu dibuat berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap serta arus sungai yang deras, selain demi keselamatan pasukan SAR.

“Operasi telah dijalankan sepanjang hari ini dengan bantuan orang awam dan akan disambung semula pada 8 pagi esok,” katanya malam ini.

Beliau berkata operasi SAR yang bermula sejak 6.50 petang semalam melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibantu penduduk setempat.

Setakat ini, seorang daripada mereka yang berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang selepas ditemukan pasukan SAR pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi mereka dilaporkan terjatuh.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan