AM

BERNAMA Rangkul Empat Anugerah Pada Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2025

29/11/2025 01:16 AM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) meraih empat anugerah pada Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2025 bagi kategori Anugerah Media malam ini.

BERNAMA membawa pulang dua anugerah emas bagi Isu & Liputan Krisis: Media Dalam Talian menerusi laporan 'Krisis Obesiti Kanak-Kanak Di Malaysia (Siri Empat Bahagian) oleh Erda Khursyiah Basir dan Anugerah Tanggungjawab Sosial: Media Dalam Talian bagi laporan 'Development Pushes River Terrapins To The Brink-Experts' oleh Nina Muslim.

Selain itu, agensi berkenaan turut menerima satu anugerah perak di bawah kategori Liputan Gaya Hidup: Media Dalam Talian bagi laporan 'A Samad Said Pejuang Bahasa, Martabat Sastera Negara' oleh Erda Khursyiah Basir dan satu anugerah gangsa dalam Anugerah Penulisan Pendapat (Op-ed): Media Dalam Talian bagi laporan 'Banjir Di Malaysia: Pelan Jangka Pendek Dan Panjang Kurangkan Risiko Bencana - PETRA' oleh Nur Fadhliana Shaari'.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

MPRA 2025, anjuran Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA) yang menerima 104 penyertaan, menawarkan 42 anugerah emas, 35 perak dan 32 gangsa menerusi 28 kategori.

Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA) Prof Mohd Said Bani Din berkata tema tahun ini CONNECTION: The Heart of Communication menggariskan peranan wawasan dan pandangan manusia dalam era yang semakin dibentuk oleh kecerdasan buatan (AI), platform digital dan metaverse.

"AI, platform digital dan metaverse telah merevolusikan alatan dan garis masa kita, namun satu kebenaran kekal iaitu teknologi memaklumkan; kemanusiaan membawa perubahan. Empati, gerak hati dan integriti profesional PR (perhubungan awam) tiada galang gantinya," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan