KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Naib Presiden PKR Datuk Seri R.Ramanan yakin rakyat Sabah akan membuat pilihan berdasarkan fakta dan realiti dan bukannya emosi semata-mata pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, esok.
Menyifatkan PRN kali ini sebagai sengit dan mencabar, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata rekod keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap negeri itu tidak boleh dinafikan.
“Kerajaan MADANI telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menjaga kepentingan Sabah secara menyeluruh malah Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu-satunya Perdana Menteri yang paling kerap turun ke Sabah bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog.
Ramanan berkata Sabah turut menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah melalui Belanjawan MADANI sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan Persekutuan terhadap kesejahteraan negeri itu.
Sehubungan itu, Ramanan menyatakan keyakinannya bahawa rakyat Sabah akan memilih yang terbaik demi masa depan yang lebih stabil, makmur dan terjamin.
Pada masa sama, beliau menegaskan hubungan kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri yang kini berada pada tahap paling baik perlulah dipertahankan melalui pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, ini penting kerana hubungan yang mesra dan akrab membuka ruang lebih besar untuk memastikan kebajikan rakyat Sabah diberikan perhatian sewajarnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial