AM

Guru Buka Kelas Digital Untuk Kanak-kanak Di PPS

28/11/2025 04:20 PM

MARANG, 28 Nov (Bernama) -- Seorang guru lelaki mengambil inisiatif membuka kelas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, di sini bagi membantu kanak-kanak dalam pembelajaran digital.

El Gamillo Habibun Tan, 45, berkata usaha itu dilakukan untuk memastikan masa lapang kanak-kanak di PPS diisi dengan aktiviti berfaedah.

Penolong Kanan Kokurikulum di SK Gasing itu berkata kelas berkenaan diadakan dari 9 malam hingga 11 malam dan mendapat sokongan padu daripada ibu bapa serta pihak pengurusan sekolah.

"Usaha ini juga bagi memastikan kanak-kanak tidak bosan berada di PPS. Secara tidak langsung suasana PPS lebih ceria kerana kebiasaannya keadaan sunyi dan lengang tanpa aktiviti pada waktu malam.

"Tahun lepas saya ada buat tayangan video untuk kanak-kanak di PPS sama, tetapi kali ini saya mahu (kanak-kanak) perkukuh ilmu pendigitalan melalui pembelajaran digital yang lebih interaktif dalam kalangan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

El Gamillo yang juga Apple Professional Learning Specialist dan Ikon Guru Digital Kebangsaan 2024 berkata inisiatif itu dapat dilaksanakan dengan baik serta tersusun kerana SK Gasing mempunyai kemudahan digital lengkap termasuk 30 tablet pembelajaran. 

Guru kelahiran Muar, Johor itu berkata kira-kira 20 kanak-kanak menyertai kelas terbabit yang memberikan peluang kepada mereka menggunakan iPad dan pembelajaran melalui ekosistem Apple.

"Corak pembelajaran lebih interaktif dapat menarik minat kanak-kanak, sekali gus mengurangkan tekanan apabila berada di penempatan seperti PPS.

"Saya berharap pendekatan kelas digital di PPS dapat dijadikan model pendidikan kecemasan setiap kali banjir melanda pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan