AM

Sambutan Anwar Unik, Rakan Sejawat Pandu Kenderaan Rasmi Bawa PM Melawat Ethiopia

19/11/2025 12:17 AM

Daripada Saraswathi Muniappan

ADDIS ABABA, 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali, dalam satu sambutan rasmi yang disifatkan sebagai unik, memandu sendiri kenderaan yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau memulakan lawatan rasmi ke negara itu hari ini.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole di sini, Abiy membuat kejutan dengan menyambut sendiri Anwar dan delegasi sebelum kedua-dua pemimpin bergerak ke Leaders Lounge bagi sesi pertemuan ringkas.

Perdana Menteri kemudian dibawa oleh rakan sejawatnya melawat Muzium Sains Ethiopia yang menampilkan sejarah pembangunan teknologi dan inovasi negara itu.

Muzium berkenaan, yang terletak kira-kira 30 minit dari lapangan terbang dengan menaiki kereta, merupakan antara simbol kemajuan infrastruktur moden Ethiopia.

Anwar turut dibawa melihat "Friendship Park", sebuah taman yang menjadi tumpuan warga Ethiopia serta pelancong yang ingin menikmati kehijauan dan landskap indah.

Abiy kemudian membawa Anwar ke Hotel Sheraton Addis sekali gus mengakhiri acara lawatan pada hari ini.

Sementara itu, Abiy dalam hantaran di laman X mengalu-alukan kedatangan Anwar dan delegasinya untuk lawatan rasmi selama tiga hari.

"Kehadiran anda adalah bukti sebenar persahabatan serta solidariti yang semakin kukuh antara Ethiopia dan Malaysia, dan ia berlaku pada detik yang amat penting buat negara kita,” kata Perdana Menteri Ethiopia itu. 

Terdahulu, turut menyambut ketibaan Anwar ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, para pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.

Ini merupakan lawatan bersejarah dalam usaha Malaysia mempertingkat hubungan dengan benua Afrika melalui ibu pejabat Kesatuan Afrika di sini.

Kesatuan Afrika, yang ditubuhkan pada Julai 2002 serta dianggotai 55 negara, merupakan suara perwakilan benua itu di pentas global dan antara peranan utamanya ialah menggalakkan kerjasama antarabangsa.

Lawatan tiga hari Anwar ke negara yang mendapat julukan Tanduk Afrika itu adalah yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia dan juga lawatan balas susulan kunjungan rasmi Abiy ke negara ini pada Oktober tahun lepas.

Lawatan itu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak Januari 1965.

Ia juga bersempena dengan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 Sept 2025, selepas ditutup selama 42 tahun sekali gus memperkukuh hasrat Malaysia untuk terus mengeratkan hubungan dua hala.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan