JENAYAH & MAHKAMAH

Pengurusan Kes Bagi Taksiran Ganti Rugi Semantan Estate Ditetapkan Pada 20 Jan 2026

17/11/2025 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 20 Jan depan untuk pengurusan kes bagi taksiran ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd.

Hakim Roslan Mat Nor membuat keputusan pada prosiding yang dihadiri Peguam Persekutuan Nur Zul Izzati Zulkipli bagi pihak kerajaan dan peguam Janet Chai Pei Wing, yang mewakili Semantan Estate.

Tarikh itu ditetapkan bagi mengemas kini status pemfailan laporan pakar pentaksiran ganti rugi.

Pada 13 Nov lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.

Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa kerana syarikat terbabit tidak boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas gagal memperoleh kebenaran. 

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah berkenaan namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya yang akan ditaksir berdasarkan nilai tanah pada 1956 iaitu ketika ia diambil alih oleh kerajaan.

Tanah yang dipertikai itu terletak di kawasan utama Jalan Duta dikenali sebagai Enklaf Duta menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kes pertikaian membabitkan Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat berkenaan menyaman kerajaan mendakwa tanah itu diambil secara tidak sah.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya membuat keputusan yang memihak kepada Semantan Estate dan memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil alih tanah itu secara tidak sah dan syarikat berkenaan mempunyai kepentingan benefisial terhadapnya.

Kerajaan telah mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan namun gagal.

Pada Feb 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan supaya menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009 itu.

Mahkamah Tinggi pada Ogos tahun lepas mengarahkan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan untuk memindahkan hak milik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman namun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 24 Jun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Hakim Datuk Lee Swee Seng (kini hakim Mahkamah Persekutuan) turut memerintahkan agar jumlah pampasan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi ditolak sebanyak RM1.325 juta, yang telah dibayar oleh kerajaan pada 1956.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa Semantan Estate berhak mendapat keuntungan sementara terhadap tanah itu, jumlah yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi, selain mengarahkan kedua-dua pihak untuk melantik pakar masing-masing bagi membuat penilaian terhadap tanah terbabit dalam tempoh 90 hari dari tarikh penghakiman.

Pada 28 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Semantan Estate untuk menangguhkan perintah Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu yang dikemukakan oleh syarikat itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan