AM

Sambutan Deepavali Lembah Pantai Semarakkan Semangat Harmoni, 1,100 Keluarga Terima Sumbangan

12/11/2025 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Sambutan Fiesta Cahaya Deepavali di Parlimen Lembah Pantai di sini, berlangsung meriah dengan penyertaan komuniti yang diiringi semangat harmoni dan persefahaman.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sambutan kali ini juga istimewa, kerana buat pertama kalinya, lebih 1,100 keluarga menerima sumbangan berbentuk baucar untuk membeli barangan keperluan.

“Bagi saya, sambutan perayaan yang dilaksanakan secara aman dan harmoni, memberi peluang untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuhkan hubungan sesama kita.

“Keadaan seperti ini sukar ditemukan di tempat lain dan kita sangat diberkati hidup di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis itu di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini, malam ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata kepelbagaian kaum dan budaya yang wujud di Malaysia khususnya kawasan Lembah Pantai, menjadi kekuatan kepada komuniti serta membolehkan pelbagai perayaan termasuk Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Krismas, disambut dalam satu suasana harmoni.

Selain hidangan tradisi masyarakat India, acara itu turut diserikan dengan persembahan tarian oleh kumpulan The Dream Catcher yang terdiri daripada belia-belia dari kawasan Lembah Pantai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan