SUKAN

Selangor Dipilih Hos Sukan Perpaduan Islam 2029

08/11/2025 11:55 PM

SHAH ALAM, 8 Nov (Bernama) -- Selangor dipilih sebagai tuan rumah bagi Sukan Perpaduan Islam edisi ke-7 pada 2029 oleh Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA). 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata tanggungjawab itu menggambarkan keyakinan dunia luar kepada kemampuan negeri itu untuk menganjurkan pertandingan sukan yang melibatkan penyertaan 57 negara. 

“Permohonan penganjuran ini disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan disampaikan secara bersama oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta kerajaan negeri diwakili oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Selangor Najwan Halimi. 

“Sukan Perpaduan Islam sebelum ini dianjurkan oleh Turkiye pada 2021 dan edisi terkini sedang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi hingga 21 Nov 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang mengusahakan peningkatan infrastruktur dan fasiliti tempatan sebagai persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 pada tahun depan sekali gus mengukuhkan kapasiti Selangor untuk menjadi pentas kepada atlet luar negara. 

“Pengalaman SUKMA 2026 akan mengukuhkan kapasiti negeri untuk menjadi pentas kepada atlet luar negara serta memberikan dorongan kepada atlet negeri untuk meningkatkan prestasi menjelang Sukan Perpaduan Islam ke-7 pada  2029,” katanya. 

Sementara itu, ISSA dalam kenyataan berasingan memaklumkan keputusan memilih Selangor sebagai penganjur dibuat selepas delegasi Suruhanjaya Sukan ISSA diketuai Setiausaha Agungnya Nasser Majali melakukan lawatan pemeriksaan ke negara calon.  

Delegasi tersebut menilai kemampuan setiap calon dalam menganjurkan temasya itu termasuk dari aspek standard, logistik dan kesiapsiagaan operasi. 

“Sebagai mencerminkan semangat kerjasama, semua calon bersetuju menyokong bidaan Malaysia. Susulan itu, Suruhanjaya Sukan telah mencadangkan Selangor sebagai Bandar Tuan Rumah bagi Sukan Perpaduan Islam 2029 kepada Lembaga Eksekutif ISSA, yang kemudian meluluskan pemilihan itu. 

“Anggota ISSA secara rasmi meluluskan pencalonan Selangor di Perhimpunan Agung ISSA hari ini,” menurut kenyataan itu.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan