SHAH ALAM, 8 Nov (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam sempena Ulang Tahun ke-66 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta barisan exco kerajaan negeri.
Pada majlis sama Sultan Sharafuddin turut berkenan melancarkan enam Setem Edisi Khas bersempena ulang tahun tersebut, yang menampilkan imej antaranya peralatan istiadat mesyuarat dan bangunan DUN Selangor.
Speaker DUN Selangor Lau Weng San dalam sembah ucapannya berkata institusi berkenaan merupakan antara penyumbang utama kepada kemajuan dikecapi negeri itu hasil peranan pentingnya dalam menggubal dasar serta memastikan pentadbiran sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat dan kesejahteraan negeri.
Beliau berkata dalam memastikan pemantapan persidangan, pihaknya kini sedang melihat inisiatif dan peluang pengaplikasian kecerdasan buatan (AI) dalam urusan sidang dewan melalui inisiatif Teraju AI Selangor.
"Pada masa hadapan, cabaran yang bakal dihadapi oleh Dewan Negeri Selangor tidaklah mudah. Kita berhadapan dengan harapan rakyat yang menggunung tinggi dengan isu seperti perubahan iklim, masalah geopolitik serantau, dan cabaran akibat kemajuan teknologi yang pesat.
"Namun, patik yakin dengan semangat kerjasama, integriti, dan komitmen yang jitu daripada semua pihak, Dewan Negeri Selangor akan terus menjadi wacana yang berkredibiliti untuk mengatasi cabaran ini," katanya di sini hari ini.
Lau turut menyeru semua Ahli Dewan Negeri Selangor terus bekerjasama dan mengetepikan perbezaan politik demi memastikan perkara yang dibahaskan ketika persidangan adalah untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
"Marilah kita terus menjunjung tinggi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, memelihara kedaulatan undang-undang, serta menjadi suara yang tulus dan berprinsip bagi mewakili amanah rakyat yang telah memilih kita," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial