AM

Kerjasama Institusi Zakat, Swasta Perluas Jaringan Kebajikan Islam - Mohd Na’im

05/11/2025 05:34 PM

SEPANG, 5 Nov (Bernama) -- Kerjasama antara institusi zakat negeri dan sektor swasta dalam membantu golongan asnaf menunaikan ibadah umrah, penting bagi memperluas jaringan kebajikan Islam di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata inisiatif seperti kempen “Umrah 1,000 Asnaf” yang dijayakan Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) dan institusi zakat negeri, memperlihatkan usaha bagi memastikan manfaat zakat disalurkan bukan sahaja bagi keperluan asas, tetapi juga bagi memenuhi impian spiritual golongan asnaf fakir dan miskin.

“Inisiatif seperti ini bukan sekadar memberi peluang menunaikan ibadah, tetapi juga mencerminkan semangat tanggungjawab sosial bersama antara kerajaan, institusi agama dan pihak swasta,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni bakal jemaah Umrah 1,000 Asnaf, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini hari ini.

Mohd Na'im turut menyifatkan inisiatif itu sebagai contoh bagaimana penggunaan teknologi mampu memperkukuh urusan kebajikan.

“Data asnaf yang disalurkan oleh institusi zakat negeri, memainkan peranan penting bagi memastikan bantuan disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata kempen Umrah 1,000 Asnaf yang dilancarkan pada Mac lepas, dilaksanakan dengan menggunakan data asnaf yang disalurkan institusi zakat negeri-negeri.

Beliau berkata ia membolehkan pemilihan peserta dibuat secara lebih tepat bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan mendapat peluang menunaikan ibadah tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan