AM

JKM Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut, Pastikan Kebajikan Mangsa Terpelihara

04/11/2025 05:47 PM

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan pelbagai langkah bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) agar pengurusan bencana berjalan lancar dan kebajikan mangsa terpelihara.

JKM memaklumkan langkah berkenaan termasuk penyediaan logistik dan bekalan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tikar, selimut dan kelengkapan bayi di semua depoh dan stor bencana negeri serta penyenaraian dan pemantauan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

“JKM selaku jabatan bertanggungjawab dalam penyelarasan pengurusan PPS serta kebajikan mangsa bencana juga telah melaksanakan latihan kesiapsiagaan dan simulasi pengurusan bencana bersama agensi-agensi penyelamat dan pihak berkuasa tempatan.

"Langkah lain termasuk penyelarasan sukarelawan kebajikan seperti pasukan sukarelawan SUKARELA dan Skuad Prihatin untuk digerakkan ke lokasi terjejas bagi membantu mangsa,” menurut JKM dalam kenyataan. 

JKM memaklumkan pihaknya juga telah memperkenalkan inisiatif aplikasi Info Bencana JKM (MyIBJKM) iaitu platform digital rasmi yang dibangunkan bagi memudahkan orang ramai mengakses pelbagai maklumat secara dalam talian.

Menerusi aplikasi itu, mangsa bencana boleh mendaftar secara kendiri sebelum, semasa dan selepas bencana serta mengemas kini maklumat peribadi dan ahli keluarga, mencari lokasi PPS berhampiran serta mendaftar masuk dan keluar dari PPS.

JKM turut mengingatkan orang awam untuk sentiasa berwaspada terhadap amaran cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. 

"JKM komited untuk memastikan kebajikan mangsa bencana diberi keutamaan dan bantuan sampai tepat pada waktunya, selaras dengan matlamat jabatan untuk 'Melindungi yang Rentan, Memperkasakan yang Lemah'," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan