KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terus memperkukuh infrastruktur tebatan banjir dan pengurusan sungai di seluruh negara bagi meningkatkan daya tahan terhadap risiko perubahan iklim.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebagai strategi utama, PETRA melaksanakan pendekatan berstruktur yang merangkumi termasuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), pengawalan hakisan pantai, pemuliharaan muara sungai.
Beliau berkata turut dilaksanakan Projek Pemuliharaan Sungai untuk pengaluran sungai, penstabilan tebing, pembaikan saluran perparitan dan naik taraf struktur kawalan banjir.
“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan infrastruktur tebatan banjir dibangunkan secara lestari dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim. Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Boleh Pinda Pertama (RP1) Tahun 2026, sejumlah 141 projek telah diluluskan untuk pelaksanaan di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, 20 projek merupakan projek baharu, manakala 121 projek sambungan, dengan anggaran kos keseluruhan RM24.7 billion,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kesemua projek itu dirancang dengan mengambil kira keutamaan kawasan berisiko tinggi, impak sosioekonomi, serta kesinambungan program RTB di bawah RMK12
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu, kementerian melalui JPS turut membangunkan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA), yang berperanan sebagai dokumen rujukan utama dalam perancangan pembangunan lestari.
“PISMA menilai isu sistem saliran sedia ada termasuk kualiti air, kapasiti saliran dan integrasi dengan sistem bandar. Sehingga 2025, 35 kajian PISMA telah disiapkan di seluruh negara, 10 sedang dilaksanakan dan lima pada peringkat perancangan.
“Bagi RP1, RMK13, sebanyak enam kajian baharu PISMA telah diluluskan. Pelaksanaan PISMA membantu memastikan pembangunan baharu tidak meningkatkan risiko banjir di kawasan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata JPS telah mengambil tindakan menyelenggara, mendalamkan dan membersihkan saliran, sungai serta kolam takungan banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut.
“JPS bertanggungjawab memastikan semua infrastruktur berkaitan termasuk aset sokongan dapat berfungsi secara optimum, dalam mengurangkan risiko dan impak banjir serta menyokong keselamatan komuniti setempat,” katanya.
Selain isu banjir, kementerian turut memberi perhatian kepada perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak.
Fadillah memaklumkan Kerajaan MADANI kekal komited dalam meneruskan perundingan mengenai perkara MA63 bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Sehingga kini, sebanyak 13 daripada 29 perkara di bawah MA63 yang dibincangkan di bawah platform rundingan rasmi MA63 telah dapat diselesaikan, dengan sembilan daripadanya telah dimuktamadkan semasa pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Manakala baki empat perkara di bawah MA63 telah mencapai persetujuan di bawah Kerajaan Persekutuan terdahulu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial