KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan pemberian peruntukan kecil kepada komuniti di kawasan kampung dan pedalaman bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan ringan secara sukarela.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata cadangan itu membantu mempercepat pelaksanaan kerja penyelenggaraan, namun pelaksanaannya perlu diteliti kerana tidak semua kawasan sesuai dilaksanakan secara komuniti berikutan faktor kos dan keperluan.
“Secara asasnya, kerja-kerja penyelenggaraan ini kebanyakannya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Misalnya di Johor, sebahagian peruntukan negeri disalurkan kepada persatuan atau jawatankuasa penduduk kampung, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Walaupun hasrat itu baik, namun terdapat cabaran apabila kerja penyelenggaraan memerlukan penggunaan jentera atau peralatan khusus, sekali gus menjadikannya kurang kos efektif untuk dilaksanakan secara komuniti,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menyediakan peruntukan kecil kepada persatuan bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan kecil secara berkala.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata aktiviti gotong-royong tetap digalakkan kerana kerjasama penduduk kampung mampu memastikan kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara berterusan serta mencegah masalah lebih besar.
Beliau berkata ia sejajar dengan program penyelenggaraan yang turut disusun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menjawab mengenai penyelarasan antara agensi, beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa sedia bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuh koordinasi rentas agensi supaya kerja penyelenggaraan sungai dapat dilaksanakan secara bersepadu.
Dalam hal itu, katanya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan JPS Negeri mempunyai bidang tanggungjawab masing-masing dalam menangani isu saliran namun saling melengkapi dalam mengurus serta menyelenggara infrastruktur di kawasan tadahan masing-masing.
“MADA sebagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertanggungjawab membangun serta mengurus sistem pengairan dan saliran di kawasan Jelapang Padi, termasuk aspek operasi dan penyelenggaraan.
“Manakala JPS yang berada di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pula bertanggungjawab terhadap pengurusan sungai, saliran mesra alam dan pelaksanaan projek tempatan melibatkan peruntukan bajet kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial