KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kesihatan mental yang diabaikan mampu menjerumus individu ke arah kemusnahan diri, keluarga dan masyarakat, sekiranya tidak ditangani dengan betul.
Pegawai Psikologi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Sarada Devi R. Subramaniam berkata malangnya, stigma dan kepercayaan budaya tertentu masih menjadi penghalang utama masyarakat mendapatkan bantuan profesional.
Beliau berkata ia sekali gus menyebabkan ramai individu memilih untuk memendam rasa dan tidak mendapatkan rawatan sewajarnya, sedangkan intervensi awal mampu menyelamatkan nyawa.
“Sebahagian keluarga takut tanggapan orang kononnya anak atau ahli keluarga ada masalah, tetapi sebelum perkara buruk berlaku, lebih baik kita ambil tindakan.
“Bukalah minda dan gunakan perkhidmatan kaunseling yang ada seperti LPPKN dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika menjadi tetamu program Podcast Kasih Lensa Keluarga bertajuk “Anxiety, Stress & Burnout: Bila Nak Mula Cari Bantuan?” terbitan Bernama TV malam ini.
Sarada Devi berkata kaunseling adalah ruang yang selamat untuk mendapatkan bantuan, malah kaunselor bertauliah menjaga kerahsiaan dan tidak akan membocorkan maklumat pesakit mereka.
“Kadang-kadang jalan penyelesaian itu mudah, tetapi bila dipendam lama-lama, keadaan boleh jadi lebih buruk,” katanya.
Menurut Sarada Devi, selain sesi kaunseling, LPPKN turut menyediakan pelbagai program dan modul bagi membantu individu yang berdepan isu kesihatan mental, antaranya terapi pernafasan dan terapi ketawa bagi merangsang individu kekal tenang dan fokus dalam membantu diri sendiri.
Beliau turut menasihati keluarga agar lebih peka terhadap tanda-tanda awal tekanan emosi dalam kalangan ahli keluarga dan segera membantu mereka mendapatkan rawatan.
Sarada Devi berkata di tempat kerja pula, rakan sekerja dan majikan perlu memainkan peranan bagi mengelakkan lesu upaya dalam kalangan pekerja.
“Kita sesama rakan sekerja dan majikan perlu ada nilai empati. Kalau nampak rakan tertekan, bantu dan beri sokongan. Pengurusan diri juga penting, ambil masa untuk diri, keluarga dan terapi diri,” katanya.
Sarada Devi berkata tiada sesiapa yang harus berdepan tekanan secara bersendirian dan mengingatkan bahawa masih ada jalan keluar bagi mereka yang berdepan masalah kesihatan mental.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial