CYBERJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan satu daripada lima individu yang terkesan akibat bencana atau konflik, menghadapi masalah kesihatan mental termasuk kemurungan, keresahan dan trauma manakala sembilan peratus lagi mengalami gangguan mental sederhana sehingga teruk yang memerlukan rawatan profesional.
Memetik data berkenaan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran itu apabila tragedi seperti kehilangan pesawat MH370 dan MH17, gempa bumi di Ranau, Sabah dan tanah runtuh di Batang Kali, Selangor telah meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja dari aspek fizikal dan ekonomi, tetapi juga dari segi emosi, psikologi dan sosial.
"Krisis kesihatan mental dalam bencana bukan hanya berlaku di negara kita, tetapi juga pada peringkat antarabangsa.
"Kita melihat bagaimana konflik yang berpanjangan di Palestin memberikan kesan trauma mendalam kepada mangsa perang, terutamanya kanak-kanak dan keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kesihatan Mental Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Bertemakan "Akses Kepada Perkhidmatan: Kesihatan Mental Dalam Krisis dan Bencana", sambutan tahun ini memfokuskan usaha memastikan kebolehcapaian akses kepada perkhidmatan kesihatan mental dalam situasi kecemasan, krisis dan bencana.
Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sebagai satu daripada komponen respons bencana kebangsaan dan sejak 2018, KKM bersama dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) telah melatih pegawai pelbagai profesion dalam intervensi psikologi semasa bencana.
"Hasil usaha ini, kita kini mempunyai 256 pasukan MHPSS dengan 3,676 anggota terlatih di setiap daerah di seluruh negara yang bersedia digerakkan dalam sebarang operasi bencana.
"Semasa pandemik COVID-19, KKM menubuhkan Talian HEAL15555 (Help with Empathy And Love) sebagai talian bantuan krisis kesihatan mental dan talian itu terus beroperasi setiap hari serta menjadi antara akses bantuan psikologi paling penting kepada rakyat," katanya.
Komitmen kerajaan dalam menangani krisis kesihatan mental juga terzahir di bawah Belanjawan 2026 apabila Program K-MindSET (Komuniti Minda Sejahtera) diperkenalkan bagi memperluas literasi kesihatan mental dan memupuk daya tahan psikologi dalam kalangan rakyat.
"Sebanyak RM21.6 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan MADANI kepada agenda kesihatan mental nasional. Hal ini membuktikan komitmen kerajaan dalam merakyatkan kesihatan mental, bukan hanya tertumpu kepada hospital dan klinik kesihatan sahaja, malah di tempat kerja dan dalam komuniti itu sendiri," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial