AM

NGO Gesa Penjelasan Telus Dakwaan Penjualan Tanah Di Kawasan Sensitif Di Hulu Kelang

15/10/2025 06:36 PM

PETALING JAYA, 15 Okt (Bernama) -- Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menggesa butiran pada perubahan hak milik atau penggunaan tanah dalam kawasan sensitif ekologi didedahkan secara telus dan dengan sokongan justifikasi undang-undang yang jelas. 

Mereka menuntut pihak berkuasa berkaitan untuk mendedahkan butiran berhubung penjualan dan klasifikasi semula tanah tersebut yang sebelum ini dimiliki oleh Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) yang menguruskan Zoo Negara. 

Penyelaras utama AJ Rimba Collective Noina Baharuddin mendakwa lot tanah di Hulu Klang, Selangor itu dijual atau dipindah milik beberapa tahun lepas dan kemudiannya diklasifikasikan daripada ”kemudahan sukan dan rekreasi” kepada “komersial” dalam Rancangan Tempatan Ampang Jaya 2035 yang baharu diwartakan. 

“Tanah ini diamanahkan untuk manfaat awam dan konservasi, bukan untuk keuntungan komersial. Sebarang perubahan pemilikan atau penggunaan tanah dalam kawasan sensitif ekologi mesti telus dan wajar di sisi undang-undang,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Kumpulan NGO yang terdiri antaranya daripada AJ Rimba Collective, Environmental Protection Society Malaysia, Sahabat Alam Malaysia dan Friends of Bukit Kiara menuntut pendedahan penuh terhadap dakwaan urus niaga melibatkan tanah tersebut. 

Noina berkata NGO terlibat bimbang jika pembangunan di tanah itu meningkatkan risiko alam sekitar dan keselamatan termasuk tanah runtuh dan banjir kilat memandangkan kawasan tersebut bersebelahan sungai, kawasan berbukit dan sebahagian Hutan Simpan Ulu Gombak. 

Beliau berkata mereka menuntut tiga tindakan utama diambil iaitu pendedahan penuh di sebalik penjualan tanah, penjelasan berhubung penukaran status guna tanah dan langkah segera pihak berkuasa untuk melindungi tanah Zoo Negara dengan mewartakannya sebagai “kawasan lapang”. 

Beliau mendakwa komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan antarabangsa termasuk konservasi panda dengan China boleh terjejas jika isu zon tanah yang tidak konsisten tidak diselesaikan. 

Sementara itu, penasihat undang-undang alam sekitar A.Thevanai berkata di bawah Seksyen 12A  Akta Perancangan Bandar dan Desa, pihak berkuasa tempatan wajib mengumumkan penyediaan draf rancangan tempatan dan setelah itu, Seksyen 13 menghendaki draf dipamerkan bagi mendapatkan maklum balas serta bantahan awam.

Zoo Negara yang ditubuhkan pada 1963 terletak di kawasan seluas lebih 40.47 hektar di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan diiktiraf sebagai Taman Zoologi Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan