KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meneruskan komitmen terhadap kelestarian sumber air negara melalui penerbitan buku bertajuk Safeguarding Water Quality for a Sustainable Malaysia, hasil kerjasama dengan PSTW Sdn Bhd.
Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025 di sini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim serta Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Huang berkata buku berkenaan mencerminkan perjalanan Malaysia dalam melindungi sumber air daripada ancaman pencemaran dan perubahan iklim, selain membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan kelestarian sumber semula jadi negara.
“Buku ini antara lain menampilkan pendekatan menyeluruh dalam pengurusan air negara merangkumi strategi nasional, pelaksanaan dasar, perkongsian antara negeri serta inisiatif komuniti dan inovasi teknologi tempatan.
“Ia turut mengetengahkan peranan penting pendidikan, komunikasi dan kesedaran awam sebagai tunjang utama dalam mengekalkan kualiti air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penerbitan itu merupakan hasil kolaborasi pelbagai agensi kerajaan, institusi akademik dan pihak industri, menjadikannya rujukan penting kepada pembuat dasar, penyelidik serta masyarakat umum.
“Melalui buku ini, kita bukan sahaja mendokumentasikan kejayaan, tetapi turut menyeru kepada tindakan kolektif agar setiap individu, komuniti dan sektor memainkan peranan dalam memelihara air yang menjadi sumber kehidupan kita semua,” katanya.
Sementara itu, menurut JAS, penguatkuasaan undang-undang, inovasi teknologi dan kerjasama rentas sektor kekal menjadi teras kepada strategi jabatan itu dalam memperkukuh pengurusan air negara.
“Pendekatan ini diharap dapat memastikan sumber air Malaysia kekal mampan, bersih dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
“Pelancaran buku ini diharap menjadi platform penyatuan ilmu, dasar dan tindakan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina negara yang seimbang antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam,” katanya.
Menurut JAS buku berkenaan turut menggarap hasil penyelidikan, pengalaman lapangan, dasar serta pendekatan holistik dalam memastikan kualiti air negara sentiasa terpelihara, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan akses kepada air bersih dan sanitasi untuk semua.
“Buku ini menampilkan kompilasi menyeluruh mengenai usaha Malaysia dalam memelihara kualiti air melalui strategi nasional, inisiatif negeri dan penglibatan aktif komuniti,” katanya.
JAS turut menekankan peranan penting pendidikan dan kesedaran awam dalam memastikan pemeliharaan sumber air menjadi tanggungjawab bersama antara kerajaan, industri dan masyarakat.
“JAS berharap penerbitan ini akan menjadi rujukan utama kepada penggubal dasar, penyelidik, industri dan masyarakat dalam memperkukuh kefahaman serta tindakan bersepadu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terhadap pengurusan air negara.
“Melalui perkongsian ilmu dan amalan terbaik yang didokumentasikan, diharapkan sumber air Malaysia akan terus kekal bersih, sihat dan lestari demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial