AM

KADA Terima 18 Projek Naik Taraf Termasuk Infrastruktur Air

12/10/2025 05:04 PM

BACHOK, 12 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerima 18 projek naik taraf termasuk pembangunan infrastruktur air dalam sektor pertanian di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan anggaran kos bernilai RM400 juta.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Luqman Ahmad berkata hal ini kerana isu terbabit sering dibangkitkan oleh petani atau pesawah apabila bekalan air tidak mencukupi sehingga menjejaskan kualiti dan produktiviti tanaman mereka.

"Kita tahu masalah paling besar yang dihadapi oleh petani adalah dari segi infrastruktur untuk mendapat kemudahan bekalan air dan input pertanian termasuk baja dan racun.

"Dalam RMK13, kita ada lima kitaran peruntukan dan setiap kitaran kita akan pastikan setiap tahun ada projek untuk meningkatkan infrastrukur air," katanya kepada pemberita selepas melakuan tinjauan Program Penuaian Padi Kawasan Bachok di Kampung Keting, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Luqman berkata satu daripada 18 projek yang diterima itu ialah projek membina Stesen Pam Kasa II yang baharu di Pasir Mas di bawah seliaan KADA bernilai RM28 juta.

"Lagi 17 projek kita akan perincikan dalam mesyuarat esok kerana isu air ini menjadi tumpuan utama kerajaan dalam membantu petani meningkatkan hasil pertanian negara.

"Kita akan buat secara berperingkat dan tak mungkin dapat dilakukan dalam tempoh setahun, namun kita akan pastikan kaedah terbaik untuk selesaikan masalah air," katanya. 

Sementara itu, Mohd Faizul berkata bagi projek Pam Kasa II yang baharu itu dijangka memberikan manfaat kepada 2,700 petani yang mengusahakan tanaman padi seluas 10,000 hektar dan dijangka siap pada awal 2028.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan