AM

Tanah Wakaf Seetee Aisah Contoh Terbaik Aset Wakaf Dimajukan Beri Manfaat Berterusan

12/10/2025 04:44 PM

GEORGE TOWN, 12 Okt (Bernama) -- Tanah wakaf Seetee Aisah yang diwakafkan sejak tahun 1901 kini menjadi antara contoh terbaik, bagaimana aset wakaf dapat dimajukan bagi memberi manfaat berterusan kepada umat Islam terutama di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata pelbagai pembangunan bercampur berfasa telah dijalankan di atas tanah tanah wakaf seluas 17 ekar, di bawah kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan UDA Holdings Berhad.

“Sekarang ini projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan 3, serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B yang diterajui UDA Holdings Berhad turut giat dilaksanakan dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta.

“Fasa pertama projek itu telah siap pada 2012 dan hasilnya kita memperoleh kutipan sewaan sekitar RM480,000 setahun, malah sebahagian besar hasil tersebut diagihkan kepada waris pewakaf, masjid Permatang Janggus serta asnaf di negeri ini,”  katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Rakyat Bersama TKM I DUN Batu Maung-Siri Jelajah Takaful Masuk Kampung di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara, dekat sini hari ini dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia Mohd Radzuan Mohamed.

Mohamad berkata demikian mengulas berhubung pengumuman kerajaan terus menyemangati makna wakaf demi maslahat ummah menerusi Belanjawan MADANI yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata UDA Holdings Berhad menerajui pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang, menerusi Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan Fasa 3 serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta.

Mohamad berkata pembangunan fasa kedua dan ketiga yang sedang berjalan dengan kerjasama UDA Holdings dan dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri pada awal tahun 2026.

Beliau berkata projek besar itu membuktikan komitmen Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan MAINPP dalam mengangkat potensi ekonomi wakaf, serta memperkukuh syiar Islam melalui pembangunan berteraskan keadilan sosial dan kebajikan.

Sementara itu, Mohamad berkata projek rumah warga emas mandiri di Pongsu Seribu, dekat sini dijangka dimulakan tahun depan menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan MAINPP.

Beliau berkata projek berkonsepkan one stop center itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan perjanjian memorandum mengenainya akan dibuat pada bulan depan, dengan disaksikan Perdana Menteri.

“Sebanyak 290 buah rumah akan dibina dengan peruntukan RM35 juta bagi projek itu dan ia menandakan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan kesejahteraan warga emas turut diperkasakan selaras dengan prinsip Islam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan