JOHOR BAHRU, 11 Okt (Bernama) -- Hospital Pakar Regency melancarkan wad pintar generasi baharu pertama seumpamanya di Johor sekali gus memperlihatkan detik penting dalam transformasi penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Transformasi itu merangkumi perintegrasian digital yang canggih, automasi dan pengawasan masa nyata bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan serta kecekapan dalam penjagaan pesakit.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Serena Yong berkata Wad Pintar Generasi Baharu di bawah HMI Medical itu direka berasaskan falsafah mengintegrasikan teknologi dengan empati yang menumpukan kepada penambahbaikan komunikasi serta penyelarasan penjagaan antara profesional kesihatan dan pesakit.
Beliau berkata sistem yang dilaksanakan dengan kerjasama Chang Gung Medical Foundation Taiwan dan Lanseed Medical Group itu menggabungkan pelbagai kecanggihan teknologi di bawah satu platform menyeluruh.
Ia termasuk papan pemuka kejururawatan, terminal pintar pada katil pesakit, integrasi tanda vital berautomatik serta paparan e-kertas untuk kemas kini masa nyata.
“Wad pintar itu mewujudkan persekitaran yang cekap bagi membolehkan pasukan kesihatan menumpukan lebih banyak masa kepada pesakit yang menjadi teras utama proses penyembuhan.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyambungan semua sistem hospital termasuk pemantauan pesakit, pam infusi, sistem bilik pembedahan serta rangkaian farmasi dalam satu platform digital bersepadu.
“Ini bagi memastikan setiap maklumat pesakit direkodkan dengan tepat dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran di sebuah hotel di sini hari ini.
Yong berkata sejak fasa perintis dilaksanakan pada April lepas, hospital itu merekodkan peningkatan 60 peratus dalam masa tindak balas serta peningkatan 67 peratus dalam kecekapan operasi sekali gus membolehkan jururawat memberi lebih tumpuan kepada penjagaan pesakit berbanding kerja-kerja pentadbiran.
Pelaksanaan wad pintar itu dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran peralihan di semua jabatan tanpa menjejaskan perkhidmatan sedia ada.
Mengulas mengenai pelaburan, beliau berkata projek itu melibatkan perbelanjaan besar yang merangkumi bukan sahaja perkakasan, tetapi juga perisian, infrastruktur teknologi maklumat serta penambahbaikan storan data.
“Kami sedang menaik taraf wad demi wad. Menjelang tahun hadapan, keseluruhan hospital termasuk blok baharu akan dilengkapi sepenuhnya dengan sistem itu.
“Ini pelaburan berterusan. Ia bukan sekadar melibatkan peranti, tetapi membina keseluruhan ekosistem daripada kejuruteraan perisian sehingga menaik taraf sistem di belakang tabir,” katanya.
Inisiatif itu dimuktamadkan melalui Memorandum Persefahaman 2024 antara HMI Medical dan Chang Gung Memorial Hospital, menandakan komitmen jangka panjang terhadap transformasi digital serta pertukaran ilmu dalam bidang penjagaan kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial