AM

SARA Kali Kedua, Pendidikan Percuma PTPTN Keluarga Miskin Kurangkan Beban Rakyat

11/10/2025 11:13 AM

SEREMBAN, 10 Okt (Bernama) -- Langkah kerajaan meneruskan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kali kedua seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026 membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

Presiden Briged Negaraku Khairul Nizam Mohd Sopery berkata inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup rakyat, malah menunjukkan kerajaan peka terhadap realiti ekonomi semasa dihadapi rakyat pelbagai lapisan.

“Bantuan SARA ini simbol keprihatinan kerajaan terhadap denyut nadi rakyat. Ia memberi kelegaan segera kepada jutaan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terkesan dengan peningkatan harga barang dan kos kehidupan.

“Apabila rakyat terbela, negara akan lebih kukuh dan bersatu. SARA kali kedua itu bukti bahawa semangat Rahmah terus subur dalam pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif SARA bukan sekadar bantuan tunai, tetapi satu bentuk pelaburan sosial yang mampu merangsang ekonomi domestik melalui peningkatan kuasa beli rakyat. 

Sementara itu, Presiden IKON Malaysia Mia Nurhamizah Abdul Ghapar ketika dihubungi berkata pendidikan percuma menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan rentan, khususnya B40 ialah satu inisiatif terpuji.

"Dasar kerajaan seperti ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia bukan sahaja meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa dibebani hutang,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga mampu melahirkan lebih banyak tenaga muda berpendidikan tinggi yang bakal menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan.

Menerusi Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memberikan pendidikan percuma PTPTN kepada 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mulai tahun hadapan.

Anwar berkata bantuan itu melibatkan peruntukan RM120 juta setahun bagi keluarga miskin, iaitu pendapatan isi rumah kurang dari RM2,705.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan MySDG Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata Belanjawan 2026 merupakan belanjawan yang progresif dari segi sosial dan didorong oleh ekuiti yang mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap pertumbuhan inklusif dan keadilan sosial.

Beliau berkata langkah kerajaan untuk beralih kepada subsidi bersasar dan didorong keperluan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA Untuk Semua, memastikan bantuan berkenaan sampai kepada kumpulan rentan sambil pada masa sama menggalakkan pergantungan kendiri menerusi pembiayaan mikrokredit, pembangunan perusahaan sosial dan pemerkasaan komuniti.

“Ia memastikan sumber negara ke arah mengangkat kumpulan paling kurang mendapat perkhidmatan dan rentan di negara ini termasuk B40, Orang Asli, wanita, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Peruntukan utama dalam belanjawan tersebut termasuk RM412 juta bagi pembangunan Orang Asli dalam pendidikan, infrastruktur dan hak tanah; RM12.9 bilion untuk infrastruktur dan utiliti penting di Sabah dan Sarawak; RM500 juta untuk meningkatkan keusahawanan dan penyertaan ekonomi bagi wanita dan RM1.4 bilion untuk mengukuhkan kebajikan, mobiliti dan kebolehcapaian OKU.

Beliau berkata belanjawan itu juga meningkatkan pemakanan kanak-kanak, sokongan pendidikan dan skim perlindungan sosial seperti i-Saraan dan i-Suri untuk pekerja informal dan suri rumah, mencerminkan peningkatan tumpuan terhadap penuaan, penjagaan dan keperluan penjagaan jangka panjang.

“Secara kolektif, langkah-langkah ini mencerminkan nilai belas kasihan, ekuiti dan maruah MADANI - memajukan aspirasi Malaysia sebuah negara yang tidak meninggalkan sesiapa pun,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan