WASHINGTON, 11 Okt (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif baharu sebanyak 100 peratus ke atas semua barangan import dari China serta mengehadkan eksport teknologi ke negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump berkata langkah itu akan berkuat kuasa mulai 1 Nov 2025, atau lebih awal bergantung pada sebarang tindakan lanjut oleh China.
“Bermula 1 November 2025 (atau lebih awal, bergantung kepada sebarang tindakan atau perubahan oleh China), Amerika Syarikat akan mengenakan tarif sebanyak 100 peratus ke atas China, sebagai tambahan kepada tarif sedia ada yang sedang dibayar,” katanya sambil merujuk kepada dasar perdagangan Beijing sebagai alasan.
“Juga pada 1 Nov, kami juga akan mengenakan kawalan eksport ke atas semua perisian kritikal,” katanya.
Terdahulu pada Jumaat, Trump mempersoalkan sama ada pertemuan yang dirancang dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan akan diteruskan seperti dijadualkan.
Kedua-dua pemimpin itu dijangka bertemu di luar sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan bermula hujung Oktober ini.
Sebelum ini, pertikaian tarif antara China dan AS telah reda buat seketika selepas memuncak pada awal tahun ini.
Pada April lalu, kedua-dua negara mengenakan caj tambahan melebihi 100 peratus terhadap barangan import masing-masing.
Pada Khamis, China mengumumkan bahawa ia akan memperluas sekatan eksport bahan nadir bumi yang penting bagi industri AS.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial