EKONOMI

Pelan Hala Tuju Automotif Jangka Panjang Asas Kekalkan Pertumbuhan -- Carsome

10/10/2025 10:37 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pembentangan Belanjawan 2026 turut mengetengahkan keperluan hala tuju automotif jangka panjang yang lebih jelas dalam usaha mengekalkan pertumbuhan industri itu serta keyakinan pelabur, kata Carsome.

Sambil menyambut baik langkah-langkah digariskan dalam belanjawan berkenaan, pengendali platform e-dagang automotif bersepadu itu berkata hala tuju dasar bagi tempoh yang lebih panjang turut membantu dari segi kemajuan sektor serta menyokong aspirasi automotif negara.

“Susulan pengecualian cukai untuk kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) yang akan berakhir pada Disember 2025 manakala EV pemasangan tempatan (CKD) dijangka tamat pada 2027, kejelasan lebih terperinci (diperlukan) mengenai layanan duti eksais dan dasar pemerkasaan tempatan.

“Ini dapat membantu mengekalkan keyakinan pelabur selain membolehkan perancangan teliti di pihak pemain industri serta menyokong pertumbuhan industri jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Perniagaan Carsome Aaron Kee.

Mengulas rancangan kerajaan menangani kenderaan berusia lebih 20 tahun, beliau berkata ini dapat memperkukuh keselamatan jalan raya, mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta menggalakkan pelupusan kenderaan tamat hayat secara lebih teratur.

“Malaysia mempunyai lebih 38.7 juta kenderaan berdaftar setakat 2025 dengan sebahagian besarnya tidak lagi sesuai di jalan raya serta menyumbang kepada risiko keselamatan, pelepasan karbon yang tinggi serta penggunaan bahan api tidak cekap.

“Ketiadaan insentif pelupusan menyebabkan banyak kenderaan lama ditinggalkan di kawasan awam, sekali gus mencetuskan isu ancaman kesihatan,” katanya.

Sehubungan itu, Carsome menyifatkan langkah kerajaan menyediakan geran padanan sehingga RM4,000 di bawah Belanjawan 2026 dijangka dapat menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan lama selain menyokong pertumbuhan sektor automotif.

Bagi cadangan memperkenalkan elemen undang-undang melindungi hak pengguna Lemon Law di bawah Akta Perlindungan Pengguna, Carsome berkata ini akan meningkatkan lagi keyakinan pengguna serta akauntabiliti di pasaran.

“Pengguna yang membeli produk bernilai tinggi seperti kenderaan, berdepan ketidaktentuan apabila mengalami masalah kerosakan atau isu prestasi.

“Oleh itu, menerusi pelaksanaan dasar yang tepat, undang-undang ini akan mengatasi masalah berkaitan apabila memperincikan hak pengguna serta obligasi penjual dan memastikan penjual mempunyai pilihan saluran tindakan sewajarnya jika produk itu gagal menepati piawaian sebagaimana dijanjikan,” katanya.

Carsome juga menyifatkan langkah kerajaan memperuntuk RM7.9 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk RM650 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk melatih lebih 25,000 individu dalam bidang kenderaan elektrik, automasi dan teknologi automotif, sebagai penting kerana dapat membantu mewujudkan barisan tenaga kerja mahir demi masa depan industri.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan