AM

Belanjawan 2026: Peruntukan Tertinggi Kepada Sabah, Sarawak Dukung Semangat MA63 - Fadillah

10/10/2025 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Peruntukan pembangunan tertinggi yang diumumkan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2026 merupakan bukti Kerajaan MADANI mendukung semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata inilah kali pertama dalam sejarah, Sabah menerima peruntukan RM6.9 bilion manakala Sarawak RM6 bilion untuk pembangunan, tidak termasuk projek lain yang digariskan dalam belanjawan itu.

“Selain itu, kerajaan turut mengekalkan peruntukan (pemberian khas) RM600 juta di bawah MA63 untuk tahun depan. Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda pembangunan Sabah dan Sarawak.

“Belanjawan ini mencerminkan iltizam kerajaan membina ekonomi mampan, rakyat berdaya tahan dan negara makmur, selain menekankan pengurusan fiskal berhemat dan telus, memastikan hasil negara dimanfaatkan rakyat melalui bantuan disasar, pelaburan strategik dan pertumbuhan hijau yang inklusif,” katanya dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ yang memperuntukkan keseluruhan RM470 bilion dengan tumpuan memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kekayaan negara dapat dinikmati secara saksama oleh semua golongan masyarakat.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini berkata ia meliputi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus (OE) Persekutuan dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan (DE) Persekutuan, serta RM30 bilion pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pelaburan awam-swasta (RM10 bilion) dan pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) (RM10.8 bilion).

Belanjawan 2026 adalah belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Belanjawan 2026 juga memperlihatkan disiplin fiskal yang seimbang dengan keprihatinan terhadap rakyat, serta memberi fokus kepada kemampanan, ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan negara.

“Belanjawan ini bukan sekadar angka pertumbuhan ekonomi, tetapi tentang mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta membina asas keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Secara keseluruhannya, Belanjawan MADANI 2026 adalah belanjawan berdisiplin, berfokus kepada rakyat dan pelaburan jangka panjang negara. Kerajaan komited memastikan segala peruntukan dibelanjakan mengikut jadual, kos dan kualiti yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerima beberapa peruntukan penting termasuk RM2.2 bilion bagi 43 projek tebatan banjir, yang merangkumi 12 projek baharu manakala selebihnya projek sambungan.

Menurut beliau, PETRA turut menerima RM28.6 juta untuk pembangunan tenaga nuklear meliputi kajian awal dan kerja persediaan, manakala RM20 juta diperuntukkan bagi Program Bijak Tenaga MADANI ke arah sasaran Net Zero 2050.

“Sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan untuk bekalan elektrik Sabah dan Labuan, khususnya Southern Link bagi menjana kapasiti kuasa baharu. Selain itu, RM292 juta disediakan untuk program MASMA yang menumpukan kepada sungai dan infrastruktur air.

“Kementerian akan memastikan semua projek dilaksanakan dengan cepat, berkesan dan efektif, mengurangkan kelewatan (lanjutan masa) serta kos tambahan (perubahan kerja) agar manfaatnya segera dirasai rakyat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan