Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang.
Jika dulu rata-rata mat dan minah salih diketahui tidak tahan makanan pedas, kini rendang dan kari antara kegemaran mereka; situasi yang dapat disaksikan di Desa Corner, sebuah restoran milik dua anak Malaysia di Central Auckland di sini.
Justeru, tidak menghairankan restoran yang baru mencecah usia dua tahun ini sudahpun mencipta nama tersendiri dan mempunyai pelanggan tetap dalam kalangan penduduk setempat dan juga perantau dari tanah air.
“Mat salih sekarang bukan macam dahulu…(sekarang) mereka datang dan dah tahu nak order (pesan) apa. Roti canai Malaysia memang nombor satu. Makan pula mesti dengan rendang atau kari, memang itu yang mereka cari,” kata Azli Musa, pemilik bersama Desa Corner kepada Bernama baru-baru ini.
Pada Julai lepas, penulis dan jurufoto Zulkarnain Kamaruddin berpeluang singgah di restoran itu yang terletak di Karangahape Road, sebuah simpang tiga di tengah-tengah daerah perniagaan Central Auckland ini.
Akan tetapi, di sebalik keenakan makanan yang dihidangkan, ada jerih perih yang dilalui oleh Azli, anak kelahiran Simpang Renggam, Johor yang bermastautin di sini sejak 2007, sebelum terdirinya Desa Corner. Bak kata orang lama, benih yang baik dibuang ke laut menjadi pulau, dilontar ke langit menjadi bintang, dicampak ke hutan menjadi gunung.
JALAN BERLIKU SEORANG PERANTAU
Ditanya tentang keputusannya berhijrah ke negara di hemisfera selatan ini, Azli, 48, sekadar mengungkapkan “Jodoh, pertemuan dan rezeki itu ketentuan Allah.”
Bagaimanapun beliau yang kini selesa menetap bersama-sama keluarganya di sini, tidak keberatan berkongsi perjalanan hidupnya sebelum membuka Desa Corner.
pic-2
“Saya bermula dari bawah. Selepas tiba di sini, saya bekerja dalam industri hospitaliti sebagai pekerja biasa. Selama lapan tahun saya menimba pengalaman dalam bidang itu,” kongsinya. Beliau kemudian melangkah ke bidang pertukangan.
“Saya lakukan pelbagai kerja termasuk memotong kayu, membuat kabinet, memasang dinding, membina dapur dan membaiki rumah selama hampir sembilan tahun. Sedikit demi sedikit saya kumpul dana kerana saya memang berhajat untuk buka kedai makan,” jelasnya.
Impian beliau tercapai pada 2018 apabila beliau membuka gerai Dapur Johor di Food Court Wellington.
Namun takdir menguji apabila COVID-19 melanda, menyebabkan gerai yang semakin mendapat tempat di hati penduduk setempat itu terpaksa ditutup.
“Bila sekatan (pergerakan) bermula, kita tak boleh teruskan. Tempoh ini sangat mencabar buat saya,” katanya.
BERGABUNG UNTUK BANGKIT
Bagaimanapun takdir kemudian mempertemukan kembali beliau dengan seorang sahabat senegara yang memiliki restoran sendiri - seorang jurumasak berpengalaman lebih 20 tahun.
“Kami kenal dah lama cuma terputus hubungan. Jadi, bila berjumpa balik dan dia ajak buka kedai sama-sama, saya fikir inilah peluang kedua. Kami bukan sahaja berkongsi modal, tetapi juga merancang bersama-sama menu yang mahu dihidangkan serta operasi restoran,” kata Azli.
pic-3
Hasilnya, pada November 2023 Restoran Desa Corner dibuka secara rasmi. Katanya demi kelancaran perniagaan, beliau bertanggungjawab menguruskan operasi harian termasuk pemasaran, sementara rakan kongsinya yang tidak mahu dinamakan, memberi tumpuan kepada bahagian dapur.
Memfokuskan menu pada masakan Melayu Johor, Azli berkata mereka juga menghidangkan masakan popular dari negara-negara ASEAN seperti Thailand dan Indonesia, sementara nasi goreng dan mi goreng mamak antara hidangan paling laris mereka.
AURA & SUASANA
Kini mempunyai tujuh pekerja dengan sebahagian besarnya penuntut Malaysia yang bekerja secara sambilan, Azli berkata mereka berusaha mengekalkan suasana “Malaysia” di restoran itu yang dapat dilihat sebaik melangkah masuk ke dalam premis.
Selain disambut dengan ucapan “selamat datang”, mata pengunjung akan terhala pada mural kartun yang menggamit nostalgia era 1990-an di Malaysia dan mengubat rindu anak rantau yang telah lama berkelana di bumi kiwi ini.
pic-4
Marsya Maisarah Zainudin, 23, seorang daripada pekerja di Desa Corner, berkata pengalaman belajar sambil bekerja di negara orang mengajarnya erti hidup berdikari di samping menimba ilmu dalam bidang hospitaliti.
“Kami dilatih untuk jaga pelanggan macam saudara-mara. Bukan sekadar kerja, tapi belajar cara hormat, tentang layanan dan budaya mereka dalam menyampaikan khidmat terbaik,” kata anak jati Kuching, Sarawak itu yang baru sahaja menamatkan pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang biologi di Universiti Auckland.
Penulis sempat bertemu dengan seorang pelanggan tetap Desa Corner. Nancy Wrigley, 72, yang berasal dari Kuala Lumpur namun telah menetap di negara ini sejak lebih 35 tahun lalu, berkata dia sukakan suasana di restoran itu selain makanan yang sedap.
“Suasana di sini mengingatkan saya kepada kampung halaman, dan apabila berada di sini saya rasa macam kembali ke Malaysia,” katanya yang gemarkan hidangan nasi lemak di restoran itu.
SENTUHAN NOSTALGIA MENERUSI KARTUN
Bercerita tentang mural, Azli berkata lukisan berkenaan merupakan karya sahabatnya Fitri yang mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan watak-watak kartun dan animasi seperti Keluang Man, Usop Sontorian, Mat Despatch, Upin & Ipin, Didi & Friends serta kartun karya kartunis tersohor Datuk Lat.
“Kita nak pelanggan imbau zaman kanak-kanak mereka... watak-watak kartun inilah yang kita nantikan di depan kaca TV kerana TV sahaja hiburan yang ada pada masa itu. Walaupun duduk di luar negara, kita tetap kena ada ‘jiwa kampung’,” katanya.
Selain itu, beliau juga memastikan muzik tradisional dan lagu-lagu artis serumpun ASEAN terutamanya dari Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza sentiasa dimainkan sebagai hiburan latar dan menjadi halwa telinga pelanggan tatkala tunas rasa mereka menikmati keenakan hidangan seperti mi goreng mamak, nasi lemak ataupun sup wantan.
“DARI MULUT KE MULUT”
Walaupun tiada promosi pemasaran besar-besaran, Desa Corner tetap menerima pelanggan dalam kalangan selebriti serta orang kenamaan Malaysia yang datang ke Auckland khususnya.
Malah, ketika penulis tiba di restoran itu kelihatan pelakon dan pengarah terkenal Erma Fatima serta adiknya Umi Aida, pelakon Bell Ngasri dan Nora Danish menjamu selera bersama-sama dengan kru produksi yang datang bagi melakukan penggambaran telemovie di New Zealand.
pic-5
“Kami tak ada modal besar nak buat pemasaran, tapi pelanggan mengetahui dan datang, sebab apabila mereka puas hati dengan makanan dan layanan kita mereka akan kongsi di Instagram, Facebook... itulah cara promosi paling jujur,” katanya.
Dengan ruang makan yang boleh menampung hingga 100 pelanggan pada satu-satu masa, Azli juga memperkenalkan konsep “hidangan kongsi” yang sesuai untuk jamuan pejabat atau kumpulan besar.
“Kalau datang ramai, pesan menu set 10 orang. Kita susun makanan di tengah-tengah meja. Semua boleh rasa,” katanya, menambah beliau juga berusaha mengekalkan harga yang berpatutan.
Beliau mengakhiri temu bual itu dengan pesanan kepada usahawan lain: “Budi bahasa itu penting. Pelanggan akan suka jika layanan kita ikhlas.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial