KAPIT, 10 Julai (Bernama) -- Projek Tebingan Kapit Fasa Dua bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu bagi Kapit malah sebagai tarikan pelancongan dan pemangkin pembangunan ekonomi tempatan.
Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan Sarawak dalam membangunkan infrastruktur luar bandar yang moden, inklusif dan mampan.
Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata projek menelan kos RM10.3 juta itu melibatkan kerja-kerja perlindungan tebing sungai dan cerun serta sambungan Tebingan Kapit yang menghadap Batang Rajang.
“Tebingan ini bukan sahaja memperindah landskap bandar Kapit malah berfungsi sebagai ruang awam untuk aktiviti sosial, riadah dan ekonomi komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Siap ‘Cadangan Kerja-Kerja Perlindungan Tebing Sungai dan Cerun serta Sambungan Tebingan Kapit’ di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu mencerminkan semangat kerjasama atau ‘segulai sejalai’ antara semua pihak termasuk wakil rakyat, pemimpin akar umbi, agensi dan jabatan kerajaan serta seluruh warga Kapit.
Mengimbau perkembangan daerah tersebut, Nanta berkata Kapit kini jauh lebih maju berbanding satu atau dua dekad lepas hasil usaha berterusan pemimpin terdahulu seperti mendiang Tan Sri James Jemut Masing yang merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri.
“Usaha membangunkan Kapit diteruskan oleh kepimpinan sedia ada dan kesinambungan ini penting bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan projek kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Mengenai pembinaan tugu pahlawan di hujung Tebingan Sungai Kapit, Nanta menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah tepat dalam mengenang jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu khususnya anak jati Kapit yang pernah menyertai Sarawak Rangers.
“Ia bukan sekadar penghargaan malah pengiktirafan kepada anak Kapit yang berjuang dan sanggup berkorban demi tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, Nanta menegur pemilik bangunan kedai atau premis di Kapit agar bukan sahaja menyelenggara tetapi juga mencantikkan premis milik mereka.
“Sehubungan itu, saya meminta pihak Majlis Daerah Kapit (MDK) membantu di bawah bidang kuasa mereka untuk mengingatkan pemilik premis agar mengambil berat dan ada rasa tanggungjawab membersihkan bangunan yang 'menyakitkan mata' ini,” ujarnya.
Menurut beliau, pada masa ini terdapat banyak premis atau bangunan kedai milik persendirian dan swasta terutama yang tidak dicat sejak sekian lama malah ada yang ditumbuhi rumput dan pokok kayu ara sehingga menjejaskan imej bandar Kapit, lebih-lebih lagi apabila terletak di tengah-tengah bandar.
Katanya isu itu perlu diberi perhatian serius memandangkan banyak pihak termasuk orang ramai di Kapit menyuarakan rasa tidak puas hati dan belum ada penyelesaian sejak sekian lama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial