AM

IPPT USM Dipilih Sertai Projek Active 2.0 Penjagaan Pesakit Kanser Serviks

09/07/2025 06:29 PM

GEORGE TOWN, 9 Julai (Bernama) -- Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih menerima inisiatif kaedah penjagaan pesakit kanser serviks yang dikenali sebagai Projek ACTIVE 2.0.  

Projek itu melibatkan enam negara di Asia Tenggara, bertujuan menambah baik usaha rawatan dan menyokong proses pemulihan pesakit.  

"Sebagai satu-satunya institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dipilih menyertai program ACTIVE 2.0, IPPT USM akan terus meningkatkan usaha terutama dalam bidang penyelidikan, latihan dan inovasi.

"IPPT USM menawarkan khidmat dua pakar onkologi dan juga seorang ahli fizik perubatan di samping infrastruktur terkini sedia ada sesuai dengan peranannya sebagai pusat latihan bagi khidmat ‘brachytherapy’," menurut kenyataan USM hari ini. 

Inisiatif diketuai Dr. Jasmin Jalil itu juga akan meletakkan IPPT sebagai institusi tunggal di bawah KPT dan satu daripada 17 pusat latihan di Asia Tenggara yang berfungsi sebagai pusat latihan yang menumpukan rawatan lanjutan ‘brachytherapy’.  

Menurut USM, inisiatif selama tiga tahun itu menumpukan kepada pengukuhan sistem penjagaan kesihatan melalui latihan klinikal, peningkatan infrastruktur, dan inovasi digitalisasi, bermatlamat melebarkan akses terhadap penjagaan khusus berkualiti tinggi bagi pesakit dan keluarga mereka.

Kanser serviks kekal cabaran besar dalam bidang penjagaan kesihatan di rantau Asia Tenggara, menyaksikan lebih 69,000 kes baharu dan 38,000 kematian dilaporkan pada 2022, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, Pengarah Projek ACTIVE 2.0 Paul Lee dalam kenyataan yang sama berkata walaupun kaedah radiasi moden mempertingkatkan hasil rawatan, namun masih terdapat jurang dari segi akses kepada rawatan terkini dan kepakaran terlatih.

Projek ACTIVE 2.0 berusaha merapatkan jurang ini melalui latihan perubatan lanjutan, penambahbaikan infrastruktur, dan inovasi penjagaan. 

"Ia juga langkah penting dalam mempertingkatkan akses kepada penjagaan lanjutan di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

“Melalui projek itu, Malaysia akan menambah bilangan pakar klinikal terlatih dalam bidang rawatan lanjutan, meningkatkan keupayaan hospital tempatan dan kemampuan memberikan sokongan kepada pesakit dalam tempoh pemulihan mereka," menurut kenyataan itu. 

ACTIVE 2.0 akan bekerjasama dengan pusat rawatan onkologi ternama di negara ini untuk membangunkan jaringan empat Pusat Kecemerlangan (CoE) bagi rawatan kanser serviks.

Kesemua pusat itu akan menerima peralatan latihan radioterapi terkini di samping peningkatan infrastruktur bagi menyokong proses pemulihan jangka panjang pesakit.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan