AM

ASEAN, China Meterai ACFTA 3.0 Tahun Ini, Perkukuh Hubungan Ekonomi

10/07/2025 12:00 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- ASEAN dan China bersedia untuk mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi dengan pemeteraian Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang dijadualkan akhir tahun ini.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berkata usaha penambahbaikan ACFTA itu hadir pada saat penting ketika ASEAN berusaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan ketahanan di tengah-tengah persekitaran perdagangan global yang semakin tidak menentu.

“Dalam konteks ini, pemeteraian ACFTA 3.0 yang dijadualkan pada akhir tahun ini adalah tepat pada masanya,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan China sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini pada Khamis.

Mohamad berkata ASEAN dan China kekal sebagai rakan dagang terbesar antara satu sama lain selama empat tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan mencecah US$770.94 bilion pada 2024, meningkat 10.61 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Walau bagaimanapun, ASEAN mesti kekal berwaspada terhadap ancaman kepada sistem perdagangan terbuka, adil dan berasaskan peraturan,” katanya.

ACFTA merupakan antara perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, meliputi pasaran gabungan lebih dua bilion penduduk.

Ditubuhkan pada 2010, ACFTA bertujuan menghapuskan tarif dan halangan perdagangan antara 10 negara anggota ASEAN dan China, sekali gus menggalakkan integrasi ekonomi, aliran pelaburan dan keterhubungan rantaian bekalan di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan