AM

Malaysia Masih Ada Tempoh Sebulan Berunding Isu Tarif Dengan AS - PM Anwar

10/07/2025 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia masih mempunyai tempoh sebulan untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung pengenaan tarif timbal balik baharu yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio ketika menerima kunjungan hormat Rubio di Parlimen pada Khamis, yang memberi jaminan bahawa pandangan Malaysia akan diberi pertimbangan memandangkan kedudukan negara sebagai rakan dagang utama AS di rantau Asia Tenggara.

“Rubio menyatakan bahawa surat itu surat secara umum, tapi (Malaysia) masih mempunyai waktu selama satu bulan untuk berunding.

“Beliau juga tahu bahawa Malaysia adalah negara berdagang yang utama dengan AS di rantau ini, dan dia akan beri pertimbangan dan kemukakan pandangan kita,” kata beliau kepada pemberita selepas kunjungan tersebut. 

Anwar berkata isu tarif itu merupakan antara perkara utama yang dibangkitkan, memandangkan ia memberi kesan langsung kepada perdagangan dua hala Malaysia-AS serta kepada ekonomi serantau secara keseluruhan.

 AS baru-baru ini mengumumkan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.

Angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding 24 peratus diumumkan pada April lepas.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan Malaysia akan terus mengamalkan dasar berkecuali dalam hubungan antarabangsa dan tidak akan tunduk kepada tekanan untuk memilih antara kuasa besar.

“AS masih menganggap hubungan dengan Malaysia penting dan juga mahu kekal malah meningkatkan kerjasama bersama dengan ASEAN dan memahami pendirian kita untuk berbaik dan berdagang dengan semua negara.

“Ini penting kerana banyak anggap bahawa kita (Malaysia) harus memilih mana-mana (pihak). Tidak. AS adalah rakan dagang yang penting, hubungan kita dengan China dan negara ASEAN serta negara lain itu akan kita tingkatkan untuk menjamin kepentingan rakyat dan faedah kepada negara,” kata Anwar.

Rubio tiba di sini pada Khamis bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

Ini juga merupakan lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik menyandang jawatan itu awal tahun ini.

Beliau mewakili AS ke mesyuarat ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan