KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu bakal menubuhkan Majlis Halal Terengganu (MHT) bagi memperkukuh pembangunan industri dan memudahkan urusan pensijilan halal dalam kalangan usahawan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ariffin Deraman berkata penubuhan MHT telah dipersetujui pada peringkat awal dan akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dalam masa terdekat untuk kelulusan rasmi.
"Kita sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan merangka pelan strategik tersendiri bagi menjayakan inisiatif ini.
"MHT juga akan melibatkan pembinaan hab halal atau Halal Park yang lebih terancang bagi menyokong pembangunan industri berkenaan. Kita sedang mengenal pasti beberapa lokasi termasuk di enam kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk diangkat kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu dan Penyerahan Cek Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) Kali Kedua 2025 di sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial