AM

Mahasiswa Diingat Tidak Terjebak Skim Pinjaman "Beli Dulu, Bayar Kemudian" - Zambry

09/07/2025 12:06 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan mahasiswa supaya lebih berwaspada dan tidak terjebak dalam skim pinjaman atau pembelian “beli dulu, bayar kemudian” yang boleh membebankan mereka dengan hutang yang tinggi.

Menterinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pihaknya menerima maklumat awal mengenai wujudnya skim pembelian yang kemudiannya ditukar kepada pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi, sekali gus menjerat mahasiswa dalam beban hutang yang mereka sendiri tidak menyedarinya.

"Banyak pihak telah menghubungi saya dan memaklumkan mengenai isu ini yang semakin membimbangkan.

"Saya tidak mahu menamakan mana-mana pihak, tetapi laporan yang diterima menunjukkan banyak pelajar berisiko terperangkap dengan jumlah hutang yang besar," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Zambry berkata KPT telah diarahkan untuk mengambil langkah segera dengan memaklumkan kepada semua universiti supaya mendapatkan maklumat terperinci sama ada pelajar terperangkap dalam skim sedemikian.

KPT juga, katanya sedang mendapatkan maklumat terperinci sama ada terdapat mahasiswa yang telah terkesan akibat pinjaman itu.

"Buat masa ini, siasatan terperinci sedang dijalankan. Yang paling penting, saya ingin menasihatkan mahasiswa supaya tidak terperangkap dalam skim sebegini kerana akan menyusahkan mereka, sekali gus membebankan kehidupan dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam pengajian," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan