KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kecerdasan Buatan (AI) perlu diterima sebagai alat sokongan dalam pendidikan perhubungan awam (PR), namun pelaksanaannya harus dipandu dengan garis panduan serta kurikulum khusus bagi memastikan penggunaannya dalam kalangan pelajar kekal bertanggungjawab dan beretika.
Ketua Pusat Komunikasi Strategik, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr. Wan Norbani Wan Noordin berkata AI seharusnya dianggap sebagai rakan dalam proses pembelajaran tetapi tahap integrasinya perlu dikawal melalui pendidikan dan dasar yang selari.
“Kita tidak boleh menghalang pelajar daripada menggunakan AI, tetapi kita boleh bimbing mereka supaya menggunakannya secara betul. Ya, AI boleh menjadi rakan tetapi sejauh mana peranan rakan itu perlu kita tentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi bertajuk AI & PR: Friend or Foe?, sempena Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP 7) bertemakan Curiosity, Creativity, Clarity, di sini hari ini.
Panel itu turut disertai Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nurul’ain Mohd. Hasan; Boy Kelana Soebroto (Indonesia); Jennifer Muir (Australia); Fiona Cassidy (New Zealand); Ruby Wan (Hong Kong); Nguyen Khoa My (Vietnam); dan Mohamed Ali (Singapura).
Mengulas lanjut, Wan Norbani berkata ramai pelajar bersemangat menggunakan AI untuk penjanaan idea dan pencarian awal, namun beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan pelajar dalam menilai kesahihan sumber, walaupun berada di peringkat pengajian tinggi.
Beliau menegaskan walaupun Generasi Z dan Alpha lahir dalam era digital, mereka masih memerlukan bimbingan etika dan alat praktikal dalam penggunaan teknologi ini. Tambahnya, ketiadaan subjek khusus mengenai AI atau AI dalam konteks PR turut menjadi kekangan.
“Kefahaman digital dan nilai etika sudah diterapkan dalam kebanyakan subjek PR. Malah, ada pelajar sendiri mencadangkan agar penggunaan AI dinyatakan secara telus. Ini menunjukkan keperluan pendidikan yang lebih tersusun agar aplikasi AI dibuat secara matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Nurul’ain berkongsi dapatan kajian bilik darjah yang menunjukkan peningkatan 11 peratus dalam kefahaman pelajar terhadap konsep PR selepas menggunakan alat AI.
Katanya AI tidak menggantikan pensyarah, sebaliknya berperanan sebagai alat sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Kita tidak mahu pelajar terlalu bergantung kepada AI tetapi perlu tahu cara menggunakannya secara bertanggungjawab. AI adalah rakan penyelidikan, bukan ancaman kepada pendidikan,” katanya.
Namun, beliau turut menyatakan kekurangan pensyarah yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan AI seperti analitik data merupakan cabaran utama ketika ini.
KLIP yang mula dianjurkan pada 2019 merupakan persidangan antarabangsa yang menghimpunkan tokoh-tokoh industri, profesional dan akademik dari seluruh dunia termasuk ASEAN bagi berkongsi pandangan dan perkembangan terkini dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial