Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu terus bersatu dalam komitmennya ke arah memastikan Asia Tengara bebas daripada senjata nuklear khususnya ketika mendepani ketidaktentuan keselamatan global yang semakin meningkat dan kebangkitan semula ancaman membabitkan senjata nuklear.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN menggalas tanggungjawab penting dalam memastikan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) bukan sekadar satu instrumen undang-undang sebaliknya adalah komitmen hidup serta dinamik yang menyumbang secara bermakna kepada usaha pelucutan senjata di peringkat serantau dan global.
“Dengan kewujudan ancaman terhadap umat manusia yang dibawa oleh senjata nuklear, saya menyeru semua negara anggota ASEAN agar kekal bersatu dalam usaha kita untuk mewujudkan Asia Tenggara yang benar-benar bebas daripada senjata nuklear,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ pada Selasa yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.
Beliau juga berkata Perjanjian SEANWFZ, yang menyambut ulang tahun ke-30 tahun ini, merupakan asas penting dalam rangka keselamatan ASEAN dan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota seterusnya akan mengukuhkan lagi liputan geografi serta kepentingan strategiknya.
Bagaimanapun, Mohamad meluahkan kebimbangan kerana Asia Tenggara adalah satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang belum menerima pengiktirafan rasmi daripada negara yang memiliki senjata nuklear (NWS) menerusi penandatanganan dan ratifikasi Protokol Perjanjian SEANWFZ.
“Sehubungan itu, kita menyambut baik kesediaan NWS untuk melakukan libat urus dengan ASEAN ke arah penandatanganan dan ratifikasi protocol berkenaan. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab ASEAN untuk memberikan maklum balas secara konstruktif dengan kadar segera.
“Kita harus bekerjasama ke arah mewujudkan keadaan yang kondusif agar NWS mengambil langkah penting ini termasuk menyelesaikan isu tertunggak selaras dengan prinsip dan matlamat perjanjian berkenaan,” katanya.
SEANWFZ, juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok, telah ditandatangani pada Disember 1995 di ibu kota Thailand oleh negara anggota ASEAN sebagai komitmen ke arah mengekalkan Asia Tenggara sebagai rantau yang bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran.
Perjanjian itu berkuat kuasa pada Mac 1997.
Meskipun kesemua 10 negara anggota ASEAN telah meratifikasi Perjanjian SEANWFZ, usaha mendapatkan tandatangan lima kuasa nuklear iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat ke atas protokol perjanjian tersebut masih diteruskan.
Di bawah protokol itu, setiap NWS dikehendaki menghormati Perjanjian SEANWFZ, tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai pelanggaran terhadap perjanjian tersebut dan protokolnya selain tidak akan menggunakan atau mengugut untuk menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana negara pihak dalam perjanjian berkenaan atau dalam zon tersebut.
Menurut laman sesawang ASEAN, usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan persetujuan rasmi NWS terhadap Protokol Perjanjian SEANWFZ.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.
Acara berprofil tinggi selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial