AM

Pengerusi AMM Mohamad Tegaskan Sokongan Terhadap Agenda Hak Asasi ASEAN

08/07/2025 09:31 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan semula kepentingan memperkukuh agenda hak asasi manusia ASEAN sebagai sebahagian daripada usaha integrasi serantau yang lebih luas.

Dalam satu kenyataan, Mohamad berkata promosi dan perlindungan hak asasi manusia kekal menjadi elemen penting dalam pembinaan Komuniti ASEAN, dengan menekankan bahawa usaha itu perlu diterajui ASEAN dan dimiliki oleh ASEAN.

Mohamad turut mengalu-alukan usaha berterusan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), khususnya dalam membangunkan dua deklarasi serantau - mengenai hak kepada alam sekitar yang selamat, bersih, sihat dan mampan serta mengenai pemajuan hak kepada pembangunan dan keamanan, ke arah mewujudkan pembangunan inklusif dan mampan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama ASEAN dalam menangani isu mendesak di rantau ini, termasuk ketidaksamaan, kemerosotan alam sekitar dan cabaran global yang semakin meningkat.

“AICHR akan terus menjadi tonggak utama usaha ASEAN dalam mempromosikan pembangunan sosial dan keadilan,” kata Mohamad sambil menambah bahawa hak asasi manusia akan kekal sebagai tonggak penting dalam perjalanan ASEAN ke arah merealisasikan Visi ASEAN 2045.

Terdahulu, Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Wakil-Wakil AICHR yang dihadiri Menteri-Menteri Luar Negara Anggota ASEAN serta Menteri Luar Timor-Leste yang hadir sebagai pemerhati. 

Mesyuarat suamuka itu merupakan penglibatan rasmi pertama dalam kalendar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan di sini pada Selasa.

Ia menjadi pemula penting bagi perbincangan tahun ini dan menetapkan hala tuju Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang berteraskan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Semasa sesi itu, Wakil Malaysia ke AICHR yang juga Pengerusi AICHR 2025, Edmund Bon Tai Soon, telah menyampaikan Kenyataan AICHR dan membentangkan Laporan Tahunan AICHR 2025.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Acara peringkat tinggi selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan